Bahasa Malaysia | English

Bernama

11 Mac 2009

PROKHAS TADBIR DAN URUS 2 SKIM JAMINAN

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Prokhas Sdn Bhd, Syarikat Perantara Kegunaan Khas (SPV) milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc.) akan mentadbir dan menguruskan dua skim jaminan yang diumumkan di bawah pakej rangsangan kedua semalam. Skim-skim itu ialah Skim Jaminan Modal Kerja bernilai RM5 bilion dan Skim Dana Jaminan Penstrukturan Semula Industri, juga bernilai RM5 bilion, kata Prokhas dalam satu kenyataan.

SPV itu akan disokong oleh jaminan Kerajaan Malaysia bagi membolehkan syarikat yang layak mendapatkan pinjaman bagi perniagaan mereka daripada institusi kewangan yang mengambil bahagian. Ia berkata bermula 16 Mac 2009, pemohon-pemohon yang layak boleh mula memohon daripada institusi-institusi kewangan yang menyertai skim ini.

Semua bank komersial, bank Islam dan institusi kewangan pembangunan akan mengambil bahagian dalam skim ini, katanya. Skim tersebut disediakan hingga 31 Disember 2010 atau sehingga had skim dicapai; mana-mana yang terdahulu.

Untuk maklumat lanjut, syarikat yang berminat mendapatkan pembiayaan di bawah skim ini bolehlah mengunjungi cawangan institusi kewangan yang mengambil bahagian atau menghubungi Suhaimi Mohamad dari Prokhas di talian 03-2096 5000 atau menghubungi TELELINK Bank Negara Malaysia di talian 1-300-88-5465. Maklumat juga boleh didapati di laman web Prokhas di alamat www.prokhas.com.my.

Prokhas berkata tujuan Skim Jaminan Modal Kerja ialah membantu syarikat yang ekuiti pemegang sahamnya kurang dari RM20 juta untuk mendapatkan pinjaman untuk meneruskan operasi perniagaan. Pemohon juga mestilah merupakan syarikat berdaftar milik Malaysia yang sah (sekurang-kurangnya 51 peratus pemilikan) dalam semua sektor ekonomi. Katanya had pinjaman minimum ialah RM50,000 manakala maksimum ialah pembiayaan agregat sebanyak RM10 juta bagi setiap syarikat. Tujuan pembiayaan ini adalah bagi menampung keperluan modal kerja perniagaan manakala pembiayaan semula kemudahan kredit sedia ada tidak dibenarkan, katanya. Kadar faedah/pembiayaan ditentukan oleh institusi kewangan yang mengambil bahagian, jelasnya.

Dana tersebut disediakan oleh institusi kewangan yang mengambil bahagian manakala kerajaan akan memberikan jaminan meliputi 80 peratus, manakala 20 peratus selebihnya oleh institusi kewangan yang mengambil bahagian. Yuran jaminan adalah sebanyak 0.5 peratus setahun manakala tempoh pinjaman sehingga 5 tahun. Permohonan dibuka mulai 16 Mac, 2009 hingga 31 Dis, 2010 atau sehingga kelulusan pinjaman mencapai RM5 juta; mana-mana yang terdahulu.

Tentang Skim Dana Jaminan Penstrukturan Semula Industri, Prokhas berkata tujuannya adalah untuk menggalakkan pelaburan yang meningkatkan produktiviti; aktiviti nilai ditambah lebih tinggi (seperti kajian dan pembangunan dan aktiviti pertanian hiliran); dan yang menggalakkan penggunaan teknologi mesra alam. Syarikat berdaftar milik Malaysia yang sah (sekurang-kurangnya 51 peratus) dalam semua sektor ekonomi layak memohon skim ini, katanya. Skim itu mempunyai had pembiayaan minimum RM50,000 dan pembiayaan agregat maksimum RM50 juta bagi setiap syarikat. Tujuannya ialah membiayai pelaburan yang menepati objektif skim tersebut. Pembiayaan semula kemudahan kredit sedia ada tidak dibenarkan, tegasnya.

Kata Prokhas kadar faedah/pembiayaan ditentukan oleh institusi kewangan yang mengambil bahagian, jelasnya. Jaminan bagi syarikat yang ekuiti pemegang sahamnya kurang daripada RM20 juta ialah 80 peratus yang disediakan oleh kerajaan dan 20 peratus oleh institusi kewangan yang mengambil bahagian. Bagi syarikat yang ekuiti pemegang sahamnya berjumlah RM20 juta ke atas, jaminan oleh kerajaan dan institusi kewangan yang mengambil bahagian adalah masing-masing sebanyak 50 peratus, manakala yuran jaminan ialah 0.5 peratus setahun.