Bahasa Malaysia | English

Utusan Online

23 Januari 2018

SJPP TERIMA PERMOHONAN INSTITUSI KEWANGAN LAKSANA SKIM JAMINAN KERAJAAN


Mohd. Irwan Serigar Abdullah

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) telah menerima permohonan daripada semua institusi kewangan yang terlibat bagi menyediakan skim-skim jaminan khas kerajaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, SJPP diamanahkan untuk mentadbir dan menguruskan pelbagai skim jaminan yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Menurut beliau, skim-skim tersebut adalah Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan (SJSP), Skim Jaminan Modal Kerja-Lanjutan (SJMK-Lanjutan), Skim Jaminan Modal Kerja-StartUp (SJMK-SU), Skim Jaminan Harta Intelek (SJHI) dan Skim Jaminan Proses Automasi (SJPA).

“Sejak ditubuhkan pada 2009 SJPP telah memudahkan PKS untuk mendapatkan akses kepada pembiayaan serta menyerlahkan potensi mereka kepada ekonomi negara. Oleh itu kerajaan melalui Bajet 2018 telah memperuntukkan lebih RM9 bilion kepada SJPP untuk disalurkan kepada PKS dalam pelbagai sektor,” katanya dalam majlis taklimat Skim Jaminan Kerajaan bersama media di sini hari ini.

- UTUSAN ONLINE

Web source: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sjpp-terima-permohonan-institusi-kewangan-laksana-skim-jaminan-kerajaan-8232-1.595557