Bahasa Malaysia | English

Maklumat Am mengenai SJSP

  • 1. Apakah yang dimaksudkan dengan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan (“SJSP”)?

    Skim ini diwujudkan oleh Kerajaan Malaysia untuk membolehkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam sektor perkhidmatan mendapatkan kemudahan pembiayaan modal kerja daripada institusi-institusi kewangan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara.
  • 2. Apa itu SJSP?

    SJSP adalah skim yang menyediakan pembiayaan modal kerja untuk syarikat-syarikat berdaya maju daripada semua sektor perkhidmatan yang mempunyai pemegang saham ekuiti kurang daripada RM20.0 juta dimana institusi-institusi kewangan akan menyediakan kemudahan pembiayaan dan Kerajaan Malaysia akan menjamin sebahagian daripada kemudahan pembiayaan tersebut. Jaminan ini adalah khusus untuk operasi tempatan sahaja.
  • 3. Bagaimana jaminan ini berfungsi?

    Melalui program ini, Kerajaan Malaysia akan berkongsi risiko kredit dengan institusi-institusi kewangan yang memberikan pembiayaan kepada syarikat-syarikat yang layak, melalui perlindungan jaminan yang diberikan kepada institusi kewangan. Ini akan menggalakkan institusi-institusi kewangan untuk terus memberikan pembiayaan kepada peniagaan kecil dan sederhana dalam bidang sektor perkhidmatan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang dan berdaya maju.
  • 4. Bilakah SJSP bermula?

    Permohonan untuk SJSP akan bermula pada 1 April 2015 atau sehingga peruntukan sebanyak RM5.0 bilion dilanggan sepenuhnya, yang mana lebih awal.
  • 5. Apakah perbezaan di antara skim terdahulu dengan Skim SJSP?

    Skim SJMK terdahulu berjumlah RM10.0 bilion diperkenalkan pada 2009 adalah sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua manakala SJMK RMK10 berjumlah RM3 bilion, adalah dibawah RMK10. Skim terdahulu berakhir pada 31 Disember 2010 manakala SJMK RMK10 untuk bukan Bumiputera telah berakhir pada 31 Disember 2011. Untuk Bumiputera pula, permohonan bagi SJMK RMK10 telah dilanjutkan ke 31 Disember 2015 dan tempoh jaminan juga dilanjutkan kepada 31 Disember 2018.

    Skim SJSP baru yang berjumlah RM5 bilion ini pula disediakan untuk syarikat-syarikat Industri Kecil dan Sederhana dalam sektor perkhidmatan sahaja bagi membolehkan syarikat-syarikat ini mendapatkan kemudahan pembiayaan daripada institusi-institusi kewangan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih maju. Skim ini mempunyai tempoh jaminan selama sembilan (9) tahun atau sehingga 31 Disember 2025.

  • 6. Apakah yang dimaksudkan dengan Syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di dalam sektor perkhidmatan?

    Maksudnya merujuk kepada garis panduan baru maksud Syarikat IKS yang dikeluarkan oleh SME Corp Malaysia dan disahkan oleh National SME Development Council.
  • 7. Apakah yang dimaksudkan dengan Syarikat Berstatus Bumiputera?

    Untuk mematuhi Syarikat Berstatus Bumiputera dibawah SJSP, syarikat mestilah mempunyai 51% pegangan saham Bumiputera pada 31 Disember 2014.
  • 8. Siapakah yang layak memohon Skim ini?

    Semua syarikat dalam sektor perkhidmatan yang mempunyai dana pemegang saham tidak melebihi RM20.0 juta.
  • 9. Bolehkah syarikat-syarikat yang telah menikmati Skim SJMK dan SJMK RMK10 terdahulu memohon lagi untuk Skim SJSP?

    Ya.
  • 10. Institusi-institusi kewangan yang manakah menyertai Skim SJSP?

    Semua bank komersial, bank Islam serta institusi pembangunan kewangan yang telah menyertai SJMK dan SJMK RMK10 terdahulu telah dijemput untuk menyertai Skim SJSP.
  • 11. Apakah dimaksudkan dengan perniagaan berdaya maju?

    Perniagaan berdaya maju bermaksud sebuah perniagaan yang boleh menghasilkan aliran tunai daripada operasi perniagaannya untuk membayar tanggungan kewangan. Institusi-institusi kewangan yang mengambil bahagian mempunyai hak untuk menilai dan menentukan sama ada pemohon memenuhi kriteria kelayakan ini.
  • 12. Apakah dimaksudkan dengan Pemegang Saham Ekuiti?

    Ia bermaksud Dana Pemegang Saham menurut laporan kewangan terbaru yang telah diaudit, iaitu 18 bulan dari tarikh permohonan dibuat.
  • 13. Adakah syarikat-syarikat yang termasuk dalam golongan Kumpulan atau Konglomerat boleh memohon kemudahan pembiayaan dibawah Skim ini?

    Kemudahan pembiayaan ini ditawarkan untuk syarikat-syarikat yang memerlukan, oleh yang demikian, syarikat dalam kumpulan yang mampu untuk menyediakan dana atau boleh menanggung subsidiarinya daripada segi kewangan, adalah dinasihatkan untuk mendapatkan dana daripada kumpulan ataupun konglomerat masing-masing.
  • 14. Apakah yang dimaksudkan dengan Kumpulan atau Konglomerat?

    Ia bermaksud syarikat yang mempunyai syarikat pegangan atau syarikat utama yang sama.
  • 15. Adakah institusi-institusi kewangan yang mengambil bahagian dibenarkan untuk memberi kemudahan Surat Kredit Tunggu Sedia kepada para pelanggan yang berhasrat untuk mengembangkan operasi perniagaan ke luar negara?

    SJSP adalah untuk operasi tempatan sahaja.
  • 16. Adakah jaminan tersebut terikat dengan Kerajaan Malaysia?

    Ya. Mengikut peruntukan Seksyen 14 Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) jaminan yang melibatkan liabiliti kewangan ke atas pihak Kerajaan akan terikat dengan Kerajaan dengan syarat jaminan tersebut dikeluarkan secara bertulis dibawah kuasa pihak Perbendaharan atau mengikut peruntukan undang-undang persekutuan.
  • 17. Bagaimanakah sekiranya Kerajaan Malaysia gagal untuk membayar?

    Situasi ini tidak mungkin berlaku kerana dana untuk Skim Jaminan ini telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2015 seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri. Bahkan, dalam Pakej Rangsangan SJMK dan SJMK RMK10 terdahulu, Kerajaan Malaysia telah membayar tuntutan oleh institusi-institusi kewangan sebanyak RM216.29 juta.
  • 18. Apakah prosedur untuk memohon kemudahan pembiayaan dibawah Skim ini?

    Sekiranya pelanggan berminat dengan Skim ini, sila lakukan seperti berikut:

    1. Pastikan perniagaan mereka layak untuk kemudahan pembiayaan dengan merujuk kepada pihak bank mereka sendiri ataupun mana-mana institusi kewangan yang menyertai Skim SJSP ini.

    2. Memohon kemudahan pembiayaan ini di institusi-institusi kewangan yang menyertai Skim ini.

    3. Sediakan dokumen-dokumen penting yang diperlukan oleh institusi-institusi kewangan yang menyertai Skim ini.

    4. Setelah kemudahan pembiayaan diluluskan oleh institusi-institusi kewangan yang menyertai Skim ini, salinan dokumen kelulusan pembiayaan akan diserahkan kepada SJPP untuk perlindungan jaminan.

Mengenai Pembiayaan

  • 1. Apakah had pembiayaan bagi Skim SJSP?

    Had pembiayaan maksimum ialah RM5.0 juta manakala had pembiayaan minimum ialah RM100,000.
  • 2. Apakah perlindungan jaminan bagi Skim SJSP?

    Perlindungan jaminan adalah 70% oleh Kerajaan Malaysia di atas jumlah pembiayaan yang diberi oleh institusi-institusi kewangan yang menyertai Skim ini.
  • 3. Apakah tujuan pembiayaan?

    Tujuan pembiayaan adalah untuk modal kerja (working capital) dan perbelanjaan modal (CAPEX) sahaja dan tidak boleh diguna pakai sebagai pembiayaan semula kemudahan sedia ada yang diberi oleh institusi-institusi kewangan yang sama atau lain.
  • 4. Apakah tempoh pembiayaan di bawah Skim SJSP?

    Tempoh pembiayaan adalah sembilan (9) tahun atau sehingga 31 Disember 2025, yang mana lebih awal.
  • 5. Berapakah yuran jaminan yang perlu dibayar?

    Yuran jaminan yang perlu dibayar adalah sebanyak 1.0% setahun di mana ia perlu dibayar terlebih dahulu semasa pembiayaan diluluskan oleh institusi-institusi kewangan yang menyertai Skim ini.
  • 6. Berapakah kadar faedah yang dikenakan?

    Kadar faedah akan ditentukan oleh institusi-institusi kewangan yang memberi pembiayaan.
  • 7. Berapa lamakah masa diperlukan untuk SJPP mengeluarkan perlindungan jaminan?

    SJPP akan mengeluarkan perlindungan jaminan dalam masa 10 hari bekerja dari tarikh penerimaan permohonan jaminan daripada institusi kewangan.
  • 8. Adakah SJPP akan membuat penilaian semula keatas pembiayaan yang telah diluluskan oleh institusi kewangan sebelum mengeluarkan jaminan?

    SJPP akan membuat penilaian menyeluruh dan meneliti dokumen kelulusan pembiayaan yang dihantar oleh institusi-institusi kewangan dan menyemak had keseluruhan skim jaminan sebelum mengeluarkan kelulusan jaminan.
  • 9. Selepas mengetahui berkenaan Skim ini, adakah pelanggan dibenarkan untuk memohon pembiayaan mereka untuk diletakkan dibawah Skim ini?

    Ya, pelanggan boleh membuat permohonan pembiayaan tersebut. Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada keputusan institusi kewangan sama ada untuk membuat permohonan di bawah Skim ini atau sebaliknya.
  • 10. Bilakah institusi kewangan boleh membuat tuntutan untuk jaminan tersebut? (Tempoh tuntutan yang dibenarkan)

    Notis Penamatan Pembiayaan mestilah dikeluarkan dahulu ke atas kemudahan pembiayaan kepada pelanggan disusuli dengan Notis Tuntutan. Kedua-dua Notis mestilah dibuat dalam tempoh Jaminan masih sah (within validity period of guarantee).
  • 11. Ke manakah tuntutan tersebut diserahkan?

    Institusi kewangan akan menyerahkan tuntutannya kepada SJPP, di mana selepas itu SJPP akan menyerahkan tuntutan tersebut kepada Kerajaan Malaysia untuk tujuan pembayaran.
  • 12. Apakah yang akan berlaku sekiranya SJPP gagal atau menolak untuk membayar tuntutan?

    Tiada alasan bagi SJPP untuk tidak membayar tuntutan tersebut kerana matlamat penubuhannya adalah khusus untuk melaksanakan keputusan Kerajaan Malaysia.
  • 13. Siapakah yang akan membayar tuntutan tersebut?

    Kerajaan Malaysia melalui SJPP.
  • 14. Bilakah tuntutan tersebut akan dibayar?

    Tuntutan tersebut akan dibayar dalam masa 30 hari dari tarikh penerimaan Notis Tuntuan oleh SJPP tertakluk kepada semua dokumen-dokumen diterima dengan sepenuhnya dan tahap aktiviti litigasi terhadap pelanggan di tahap yang ditetapkan oleh SJPP.
  • 15. Adakah institusi kewangan perlu membuat tindakan/prosiding undang-undang dan/atau prosiding penebusan / gadaian terlebih dahulu sebelum menyerahkan Notis Tuntutan kepada SJPP?

    Ya. Selepas Notis Penamatan Pembiayaan dikeluarkan ke atas kemudahan pembiayaan kepada pelanggan, institusi kewangan perlu membuat tindakan/prosiding undang-undang dan/atau prosiding penebusan / gadaian. Dimasa yang sama institusi kewangan boleh menyerahkan Notis Tuntutan kepada SJPP. Walau bagaimanapun, selepas tuntutan dibayar oleh SJPP, pihak institusi kewangan mestilah meneruskan tindakan pemulihan untuk mendapat pembayaran balik pembiayaan daripada pelanggan. Semua hasil yang diterima selepas Notis Tuntutan dibuat hendaklah dikongsi dengan SJPP mengikut peratusan perlindungan jaminan.
  • 16. Bolehkah pihak institusi kewangan menstruktur semula pembiayaan?

    Ya, institusi kewangan digalakkan untuk menstruktur semula pembiayaan tersebut berdasarkan polisi dalaman mereka. Sekiranya penstrukturan semula dilakukan selepas tempoh tuntutan, kesemua hasil yang diterima hendaklah dikongsi dengan SJPP mengikut peratusan perlindungan jaminan.
  • 17. Apakah yang akan terjadi sekiranya pembiayaan disubrogasikan kepada SJPP?

    Setelah subrogasi, SJPP akan meneruskan tindakan pemulihan ke atas pelanggan bagi pihak SJPP. Sebarang kutipan oleh SJPP akan dikongsi bersama pihak institusi kewangan berdasarkan peratusan perlindungan jaminan.
  • 18. Apakah yang akan terjadi kepada hak institusi-institusi kewangan ke atas pelanggan sekiranya pengurus pemulihan dilantik?

    Sekiranya satu pihak lain dilantik sebagai pengurus pemulihan, maka sebarang hasil daripada pungutan yang diterima akan diagihkan kepada institusi-institusi kewangan mengikut peratusan perlindungan jaminan.
  • 19. Apakah yang akan terjadi sekiranya pelanggan membuat pembayaran selepas tuntutan telah dibayar?

    Sekiranya institusi-institusi kewangan menerima pembayaran daripada pelanggan, institusi-institusi kewangan tersebut perlu mengagihkan jumlah yang diterima mengikut peratusan perlindungan jaminan.
  • 20. Apakah yang dimaksudkan dengan “Laporan Pembiayaan Tertunggak”?

    Ia adalah laporan yang perlu dihantar kepada SJPP mengenai pembiayaan tertunggak / tidak berbayar untuk tempoh melebihi 1 bulan.
  • 21. Mengapakah SJPP mengenakan denda sebanyak RM100.00 bagi pembatalan permohonan keatas institusi kewangan dan siapakah yang akan menanggung kos tersebut?

    Melalui skim SJMK dan SJMK RMK10 yang terdahulu, SJPP mendapati bahawa terdapat pelanggan yang membuat perbandingan kemudahan pembiayaan bank dan membatalkan permohonan yang telah diluluskan bagi membolehkan mereka membuat permohonan yang baru di institusi kewangan yang berlainan. Denda pembatalan sebanyak RM100.00 dikenakan untuk mengelakkan situasi di atas daripada berlaku.
  • 22. SJPP akan membatalkan kelulusan jaminan ke atas pembiayaan yang tidak dikeluarkan melebihi 6 bulan dan akan turut mengenakan caj sebanyak RM100.00. Mengapa?

    Kebanyakan kelulusan pembiayaan sebahagiannya dicagar dengan deposit tunai dan jaminan daripada para pengarah sementara hanya segelintir kelulusan yang melibatkan proses dokumentasi cagaran. SJPP tidak melihat kemungkinan pembiayaan dikeluarkan melebihi 6 bulan selepas kelulusan. Caj yang dikenakan adalah untuk membiayai kos pentadbiran selain menampung kerugian pendapatan yuran jaminan.
  • 23. Caj perkhidmatan sebanyak RM100.00 turut dikenakan bagi Penggantian Sijil Jaminan?

    Ya, bagi menampung kos-kos pentadbiran SJPP.