Bukan lagi 'business as usual'

Harian Metro

1 March 2022

Bukan lagi 'business as usual'

PENIAGA perlu sedar ini bukan lagi masa untuk business as usual sebaliknya kita perlu meneroka dan mula menerima inovasi dan idea baharu sebagai suatu kelaziman dalam dunia perniagaan. FOTO Arkib NSTP

Sejak negara dilanda pandemik Covid-19 golongan peniaga antara kelompok yang cukup terkesan. Penutupan sektor ekonomi serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh untuk satu tempoh masa yang panjang menyebabkan ada terpaksa gulung tikar, ada mengecilkan saiz perniagaan dan ada bertukar bidang perniagaan. Justeru, tahun 2022 ini dilihat masa sesuai untuk peniaga bangkit dan merancakkan semula perniagaan masing-masing selari pemulihan sektor ekonomi negara.

Dalam konteks ini, kerajaan dilihat menyediakan pelbagai bantuan dan inisiatif sebagai dorongan dan sokongan kepada peniaga, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (Semarak Niaga) adalah antara komitmen kerajaan untuk membantu perniagaan bangkit semula serta membina keupayaan dan daya saing berikutan Covid-19.

Melalui Bajet 2022, sebanyak RM40 bilion diperuntukkan bagi tujuan ini yang merangkumi pelbagai bentuk pinjaman termasuk suntikan ekuiti. Di bawah Semarak Niaga juga ada jaminan pembiayaan yang disediakan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) berjumlah RM22 bilion termasuk RM2 bilion khusus untuk Bumiputera dan semua ini diyakini dapat membantu dan memudahkan PMKS mendapat pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperoleh.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menerusi Semarak Niaga, kerajaan mahu memastikan negara berada dalam landasan pemulihan ekonomi yang kukuh apabila Semarak Niaga bukan sahaja menyokong perniagaan daripada segi suntikan modal kerja atau pembiayaan, tetapi melalui suntikan berbentuk ekuiti (seperti membeli saham atau memegang ekuiti dalam syarikat) kepada perniagaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Secara ringkasnya, pecahan bagi peruntukan lebih RM40 bilion dalam Bajet 2022 bagi Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia merangkumi Pinjaman Kredit Mikro berjumlah RM1.8 bilion, Pembiayaan Ekuiti/Alternatif bernilai RM2.2 bilion, Pinjaman Mudah bagi PKS berjumlah RM14.2 bilion, serta Jaminan pembiayaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) berjumlah RM22.0 bilion.

Ironinya, inisiatif berterusan kerajaan seperti ini dilihat mampu memulihkan sektor perniagaan dan merancakkan kembali prestasi ekonomi negara, dan pada akhirnya lebih banyak peluang pekerjaan dapat dicipta sekali gus mengurangkan kadar pengangguran.

Oleh itu, terpulang kepada kelompok peniaga bagaimana mereka dapat merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan dan bangkit memulihkan ekonomi diri dan keluarga. Hakikatnya, peniaga perlu terus cekal dan segera melupakan dua tahun yang hampir meranapkan perusahaan masing-masing dengan bangkit mencipta kejayaan.

Momentum pemulihan ekonomi semakin positif, justeru sedarlah tempoh suram kian berakhir dan sudah kelihatan sinar di hujung terowong. Ini masanya untuk kita membina semula empayar perniagaan dan terus mara ke hadapan. Dalam hal ini, kita berharap peniaga akan mengambil iktibar dengan apa yang telah berlaku sepanjang dua tahun lalu dan memperbaiki segala kelemahan yang ada supaya boleh bersedia untuk berhadapan dengan apa jua cabaran yang mendatang kelak.

Justeru, perlu diingat situasi pandemik, bencana alam mahupun krisis serta kemelesetan ekonomi boleh berulang dan berlaku pada bila-bila masa saja. Oleh itu, kita perlu memberi perhatian serius dalam aspek pengurusan risiko perniagaan dan kesinambungan perkhidmatan bagi mengelak situasi sama terus berulang.

Ringkasnya, kita perlu bersedia untuk berhadapan dengan sebarang ketidaktentuan yang boleh memberi kesan langsung kepada perniagaan secara keseluruhannya.

Selain itu, inilah juga masa untuk peniaga menilai semula aktiviti perniagaan terutama daripada segi produk atau perkhidmatan yang dihasilkan, kumpulan sasaran, kaedah pemasaran dan penetapan harga yang kompetitif. Serangan wabak, misalnya telah menyebabkan aspek pendigitalan dalam sektor perniagaan berkembang pesat. Pendigitalan pada hari ini dilihat menjadi elemen penting bukan sahaja untuk memulihkan perniagaan, tetapi juga kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan. Peniaga perlu sedar ini bukan lagi masa untuk business as usual sebaliknya kita perlu meneroka dan mula menerima inovasi dan idea baharu sebagai suatu kelaziman dalam dunia perniagaan.

Ironinya, ekonomi digital dilihat bakal memainkan peranan penting dengan sasaran sumbangan sebanyak 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2025 sekali gus menggapai impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Maka peniaga khususnya pengusaha PMKS tidak boleh lari daripada aspek ini apabila transformasi pendigitalan bukan lagi satu kemewahan, tetapi keperluan terutamanya bagi perniagaan yang menghadapi pelbagai cabaran dalam tempoh yang tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan pandemik Covid-19.

Pada masa sama, bagi menyokong kebangkitan peniaga dan pemulihan sektor perniagaan diharap semua inisiatif yang terkandung dalam program Semarak Niaga dilaksanakan dengan segera secara sistematik dan telus agar sampai kepada golongan sasar khususnya PMKS. Misalnya, syarat permohonan pembiayaan wajar dilonggarkan, manakala proses permohonan pula dipermudahkan agar ia mesra peniaga. Dalam hal ini, aspek integriti agensi pelaksana mesti diutamakan dan bantuan tidak boleh dipolitikkan.

Di samping itu, kita juga berharap anggota masyarakat akan terus menyokong peniaga tempatan dan perkembangan ekonomi domestik. Misalnya, sokonglah produk dan perkhidmatan tempatan berbanding barangan luar negara dan inilah juga masa untuk kita berbelanja seperti biasa bagi menyokong dan merancakkan kegiatan ekonomi domestik.

Kita berharap peniaga dengan pelbagai bantuan dapat segera melupakan tragedi hitam yang melanda dunia perniagaan lantas bangkit memulakan kehidupan baharu demi kesejahteraan diri dan keluarga serta pemulihan ekonomi negara.

Noor Mohamad Shakil Hameed
Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

 

(Web source: https://www.hmetro.com.my/rencana/2022/03/815590/bukan-lagi-business-usual)