Program pembiayaan dengan jaminan kerajaan di bawah SJPP

Utusan Borneo

27 May 2024

Program pembiayaan dengan jaminan kerajaan di bawah SJPP

Mohd Saiful (tujuh kiri) bersama tetamu dan peserta Program Jerayawara Inisiatif PMKS Negeri Sarawak di Miri, hari ini.

MIRI: Kerajaan melaksanakan program pembiayaan dengan jaminan kerajaan di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan atau lebih dikenali SJPP.

Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Mohd Saiful Sungkih Abdullah berkata, menerusi program ini kerajaan adalah penjamin ke atas pinjaman diberikan oleh institusi kewangan kepada usahawan.

"Program jaminan ini adalah bagi menangani masalah atau kekangan dihadapi oleh syarikat-syarikat PMKS yang tidak mempunyai atau kekurangan cagaran untuk mendapatkan kemudahan kredit," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jerayawara Inisiatif Pembiayaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Negeri Sarawak anjuran Kementerian Kewangan Malaysia bersama Perbendaharaan Malaysia Sarawak.

Menurutnya, PMKS merupakan nadi ekonomi negara iaitu sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia adalah sebanyak 38.3 peratus.

"Adalah dijangkakan sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar meningkat kepada 41 peratus pada 2025 dan 50 peratus pada 2030.

"Selain itu, pekerjaan dijana oleh PMKS dijangka meningkat daripada 66.2 peratus pada 2018 kepada 72 peratus pada 2025 dan 80 peratus pada 2030.

"Manakala bagi eksport, sumbangan PMKS kepada nilai eksport Malaysia juga dijangka mencapai 15 pada 2025 dan seterusnya 30 peratus pada 2030," jelasnya.

Menurutnya, program pembiayaan perniagaan ini dilaksanakan menerusi institusi kewangan pembangunan atau institusi kewangan lain milik kerajaan bagi memenuhi keperluan atau permintaan pelanggan PMKS berbeza.

"Menerusi inisiatif Belanjawan Madani 2024, kerajaan melaksanakan program pembiayaan bersubsidi bagi sektor tumpuan yang dikenal pasti.

"Pemberian subsidi kadar keuntungan atau kadar faedah sebanyak 1.5 peratus setahun dapat membantu mengurangkan kos pinjaman usahawan bagi pinjaman diberikan oleh institusi kewangan," katanya.

Program Jerayawara Inisiatif PMKS Negeri Sarawak adalah medium mewujudkan kerjasama usahawan PMKS khususnya PMKS Sarawak dengan agensi-agensi pelaksana inisiatif Belanjawan Madani 2024

Menerusi program ini, agensi pelaksana inisiatif pembiayaan memberikan taklimat mengenai jenis produk pembiayaan ditawarkan, memberi konsultasi kepada usahawan kaedah mendapatkan pembiayaan perniagaan disediakan dan platform networking antara PMKS.

Pada tahun ini, program ini dilaksanakan di empat bandar utama Sarawak bermula di Kuching dan seterusnya di Sibu, Bintulu dan terakhir di Miri.

 

(Web Source: https://www.utusanborneo.com.my/2024/05/27/program-pembiayaan-dengan-jaminan-kerajaan-di-bawah-sjpp)