Utusan Borneo
23 Mei 2024
Sumbangan PMKS dalam KDNK dijangka terus meningkat
Para peserta bergambar bersama (dari lima kiri) Mohd Saiful dan Leonard semasa Jerayawara Inisiatif Pembiayaan PMKS Sarawak Belanjawan MADANI 2024 Bahagian Bintulu di Dewan Sri Kenyalang UPMKB, hari ini.
BINTULU: Dijangkakan sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat kepada 41 peratus pada 2025 dan 50 peratus pada 2030, demikian menurut Timbalan Setiausaha Bahagian (Sektor Dasar), Bahagian Pelaburan Strategik, Perbendaharaan Malaysia Mohd Saiful Sungkih Abdullah.
Menurutnya, pekerjaan dijana PMKS dijangka meningkat daripada 66.2 peratus pada tahun 2018 kepada 72 peratus pada 2025 dan 80 peratus pada 2030, manakala sumbangan PMKS kepada nilai eksport Malaysia juga dijangka mencapai 15 peratus pada 2025 dan seterusnya 30 peratus pada 2030.
"Semua sedia maklum, PMKS merupakan nadi penggerak ekonomi negara.
"Pada tahun 2018 sumbangan PMKS kepada KDNK Malaysia adalah 38.3 peratus," ujarnya dalam ucapan perasmian Program Jerayawara Inisiatif Pembiayaan PMKS Sarawak Belanjawan MADANI 2024 Bahagian Bintulu di Dewan Sri Kenyalang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) hari ini.
Katanya, kerajaan persekutuan telah melancarkan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 pada 12 Oktober 2023 dengan menggariskan strategi jangka panjang dalam menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul dan terus membangun secara mampan dengan pengagihan ekonomi lebih adil dan inklusif.
Beliau berkata, kerajaan sedar cabaran dihadapi PMKS dengan keadaan ekonomi sentiasa berubah, perniagaan yang sentiasa terdedah dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor luaran.
"Sebab itu, kerajaan menerusi Belanjawan MADANI 2024 terus memberi tumpuan untuk memperkasa PMKS dengan menambah baik persekitaran perniagaan menerusi penawaran pelbagai program pembiayaan perniagaan untuk memudahkan, memaju dan mengembang urusan perniagaan PMKS," jelasnya.
Menurutnya, program pembiayaan perniagaan ini dilaksanakan menerusi institusi kewangan pembangunan atau institusi kewangan lain milik kerajaan bagi memenuhi keperluan atau permintaan pelanggan PMKS yang berbeza.
"Program pembiayaan ini terbuka kepada semua PMKS yang layak di seluruh negara termasuk PMKS Sarawak," tambahnya.
Pada masa sama katanya, melalui Belanjawan MADANI antara inisiatif yang ada ialah kerajaan melaksanakan program pembiayaan bersubsidi bagi sektor tumpuan dikenal pasti.
Ujarnya, pemberian subsidi pada kadar keuntungan atau kadar faedah sebanyak 1.5 peratus setahun dapat membantu mengurangkan kos pinjaman usahawan bagi pinjaman yang diberikan oleh institusi kewangan.
Selain program pembiayaan bersubsidi katanya, kerajaan juga melaksana program pembiayaan dengan Jaminan Kerajaan di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan atau dikenali Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).
Menerusi program ini jelasnya, kerajaan adalah penjamin ke atas pinjaman yang diberikan oleh insitusi kewangan kepada usahawan.
Berkenaan program jerayawara tersebut katanya, ia bertujuan untuk menangani masalah atau kekangan dihadapi syarikat-syarikat PMKS yang tidak mempunyai atau kekurangan cagaran untuk mendapatkan kemudahan kredit.
"Institusi kewangan dan agensi pelaksana dikenal pasti juga mempunyai pelbagai inisiatif pembiayaan yang mendapat sokongan dan bantuan kerajaan boleh dimanfaat dan digunakan oleh semua PMKS berkelayakan," katanya.
Katanya, program jerawara untuk PMKS Sarawak pula merupakan medium bagi mewujudkan kerjasama dan rangkaian kerja antara usahawan PMKS khususnya PMKS Sarawak dengan agensi pelaksana inisiatif Belanjawan MADANI 2024.
Beliau berkata, agensi pelaksana inisiatif pembiayaan akan memberikan taklimat mengenai jenis produk dan perkhidmatan pembiayaan yang ditawarkan, memberikan konsultasi kepada usahawan berkenaan kaedah untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan yang disediakan dan platform rangkaian kerja antara PMKS.
"Tahun ini jerayawara dilaksana di empat bandar utama Sarawak bermula Kuching seterusnya Sibu, Bintulu dan terakhir di Miri," katanya.
Justeru katanya, Kementerian Kewangan amat berharap para usahawan dapat mengguna peluang ini dengan sebaiknya untuk mendapatkan maklumat pembiayaan, khidmat nasihat daripada institusi pembiaya atau agensi pelaksana inisiatif program pembiayaan dan membantu untuk menjalankan atau mengembangkan perniagaan.
Katanya, ia akan memperkukuhkan perniagaan PMKS masing-masing supaya mampu bersaing bukan sahaja dalam negara bahkan menembusi pasaran di peringkat global.
Jerayawara tersebut merupakan anjuran bersama Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Kewangan, Perbendaharaan Malaysia Sarawak, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC), SJPP, CGC, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) serta bank-bank pembangunan iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, EXIM Bank dan SME Bank.
Hadir sama dalam program itu Pegawai Kewangan Persekutuan Sarawak Leonard Wilfred Yussin.
(Web Source: https://www.utusanborneo.com.my/2024/05/23/sumbangan-pmks-dalam-kdnk-dijangka-terus-meningkat)