Berita Harian
11 October 2025
Belanjawan 2026 perkukuh daya saing PMKS
Peniaga Barang anyaman, Wan Rohaya Wan Mohamad, 50 yang berniaga di Pasar Kedai Payang. - NSTP/GHAZALI KORI
KUALA LUMPUR: Pengumuman pelbagai inisiatif pembiayaan, insentif keusahawanan dan program pendigitalan dalam Belanjawan 2026 dijangka memperkukuh keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk mengembangkan operasi serta meningkatkan daya tahan, menurut institusi perbankan utama negara.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Mohd Rashid Mohamad, berkata langkah kerajaan memperkukuh jaminan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi pembiayaan rumah serta perniagaan memberi isyarat jelas terhadap komitmen kerajaan membantu sektor itu.
"Langkah ini selaras dengan komitmen RHB untuk memperluas akses kepada pembiayaan dan menyediakan sokongan nasihat kepada perniagaan yang berpotensi berkembang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Bhd, Tan Sri Tay Ah Lek, berkata pihaknya mengalu-alukan tumpuan kerajaan terhadap PMKS dengan peruntukan lebih RM20 bilion bagi skim pembiayaan dan jaminan.
Beliau berkata Public Bank menyokong sepenuhnya usaha kerajaan membina legasi ekonomi hijau dan memulihara alam sekitar untuk masa depan negara.
Dalam pembentangan Belanjawan MADANI 2026 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan peruntukan RM3 bilion bagi Skim Pembiayaan Teknologi Hijau untuk menggalakkan pelaburan swasta dalam tenaga solar, hidrogen dan biotenaga. Takrif Tenaga Hijau juga akan diperluas bagi membolehkan pembeli korporat memperoleh tenaga boleh baharu yang diperakui.
Langkah ini dijangka bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia dalam agenda tenaga bersih, tetapi juga membuka peluang perniagaan baharu kepada PMKS yang berorientasikan inovasi dan kelestarian.
(Web Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/usahawan/2025/10/1457062/belanjawan-2026-perkukuh-daya-saing-pmks)

