Kerajaan peruntuk RM50 bilion kemudahan pinjaman dan jaminan untuk usahawan tahun hadapan

Majoriti

10 October 2025

Kerajaan peruntuk RM50 bilion kemudahan pinjaman dan jaminan untuk usahawan tahun hadapan

 Kerajaan memperuntukkan RM50 bilion bagi kemudahan pinjaman dan jaminan untuk manfaat usahawan tempatan pada tahun hadapan, meningkat berbanding RM40 bilion sebelum ini.

KERAJAAN memperuntukkan RM50 bilion bagi kemudahan pinjaman dan jaminan untuk manfaat usahawan tempatan pada tahun hadapan, meningkat berbanding RM40 bilion sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah tersebut, lebih RM2.5 bilion diperuntukkan bagi pinjaman mikro yang disediakan menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) dan TEKUN Nasional.

Selain itu ujarnya, jumlah jaminan kerajaan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) turut ditingkatkan kepada RM30 bilion, berbanding RM20 bilion sebelum ini.

“Selain memberi jaminan kepada syarikat dalam sektor bernilai tinggi, skop SJPP juga diperluas bagi menjamin usahawan mikro," katanya ketika membentangkan Belanjawan Madani 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sejak penubuhan SJPP, lebih RM100 bilion pinjaman perniagaan telah dijamin kerajaan dan memanfaatkan lebih 84,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam pelbagai sektor. 

Menurutnya, permintaan syarikat untuk mendapatkan pembiayaan yang dijamin kerajaan telah meningkat belakangan ini.

"Untuk tahun ini sahaja, BSN meluluskan pinjaman mikro hampir RM250 juta memanfaat lebih 7,200 usahawan Bumiputera, Cina, India, Sabah Sarawak, wanita, anak muda, penjaja dan golongan rentan," jelasnya. 

Rata-rata usahawan menyambut baik usaha tersebut, yang dilihat mampu memberi nafas baharu kepada ekosistem PKS negara. 

 Nur Khairunnisa berkata, peruntukan sebanyak RM15 juta mampu memberi nafas baharu kepada ekosistem PKS negara.

Nur Khairunnisa Abd Khalil, 31, yang mengusahakan premis makanan dan minuman (F&B) berkata, peningkatan jumlah pembiayaan dan peluasan skop jaminan di bawah SJPP menunjukkan kesungguhan kerajaan membantu usahawan kecil yang sering berdepan kesukaran mendapatkan modal.

“Langkah ini amat signifikan. Ramai usahawan mikro tidak mempunyai cagaran untuk memohon pinjaman besar.

"Jadi apabila kerajaan menjamin pinjaman melalui SJPP, ia membuka peluang kepada lebih ramai individu mengembangkan perniagaan,” katanya kepada Majoriti.

Bagaimanapun beliau berharap, kerajaan dapat memastikan proses kelulusan pembiayaan lebih telus dan mudah diakses usahawan wanita serta golongan muda.

Ujarnya, tindakan kerajaan memperkasa sektor keusahawanan menerusi pelbagai skim pembiayaan adalah langkah tepat, namun cabaran sebenar terletak pada bagaimana dasar itu dilaksanakan di lapangan.

“Peruntukan besar ini memang memberi harapan, tetapi kalau prosesnya masih lambat dan dipenuhi kerenah birokrasi, usahawan kecil akan terus ketinggalan. 

"Kami mahu lihat sistem kelulusan yang cepat, adil dan berasaskan keperluan sebenar,” ujarnya.

 Setakat 1 Oktober, 45 peratus syarikat senaraian awam memenuhi 30 peratus ahli lembaga pengarah wanita. — Gambar hiasan

Menurutnya, ramai usahawan wanita dan anak muda masih berdepan kesukaran mengakses pinjaman mikro, terutama apabila perlu menyediakan dokumen sokongan kompleks atau berdepan pegawai yang tidak memahami keperluan sebenar perniagaan kecil.

“Golongan wanita di luar bandar misalnya, ramai yang menjalankan perniagaan dari rumah seperti menjahit, membuat kuih atau kraf tangan. 

"Mereka tidak semestinya ada penyata kewangan lengkap. Jadi, kalau syarat terlalu ketat, peluang untuk berkembang jadi terbatas,” bicaranya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, penyertaan wanita dalam kepimpinan korporat menunjukkan kemajuan membanggakan. 

Jelasnya, setakat 1 Oktober, 45 peratus syarikat senaraian awam memenuhi 30 peratus ahli lembaga pengarah wanita. 

"Namun, masih terdapat lapan syarikat tiada ahli lembaga wanita. Ini memang syarikat 'kolot'. 

"Suruhanjaya Sekuriti akan meningkatkan usaha penyertaan wanita dalam kepimpinan urus korporat," tegas beliau. — Majoriti

 

(Web Source: https://majoriti.com.my/maya/2025/10/10/kerajaan-peruntuk-rm50-bilion-kemudahan-pinjaman-dan-jaminan-untuk-usahawan-tahun-hadapan)