AS sedia runding, kemungkinan tarif dikurangkan - Anwar

Harian Metro

5 May 2025

AS sedia runding, kemungkinan tarif dikurangkan - Anwar

ANWAR Ibrahim memberi penerangan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan

Kuala Lumpur: Kerajaan membentangkan enam cadangan dan strategi utama bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta mempertahankan kepentingan nasional dalam jangka pendek dan sederhana bagi mendepani cabaran tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, langkah itu adalah sebahagian daripada pendekatan strategik dan inklusif kerajaan bagi memastikan Malaysia terus berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi global.

"Kita tidak boleh membiarkan ekonomi negara dibentuk oleh tekanan luar tanpa tindak balas berstruktur. Malaysia mesti bersedia dengan strategi yang tangkas, berdasarkan data dan memberi manfaat langsung kepada rakyat," katanya ketika menyampaikan penerangan pada sesi mesyuarat khas berkenaan isu tarif AS di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, cadangan pertama adalah penyelarasan dasar berlandaskan data melalui Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) yang menyelaras dasar berkaitan perdagangan dan memantau petunjuk utama ekonomi seperti eksport, tempahan pembuatan, jualan runcit dan pertumbuhan pinjaman.

"Ini bagi memastikan tindakan dasar yang diambil adalah tangkas, bersasar dan menyeluruh," katanya.

Cadangan dan strategi kedua, katanya, membabitkan rundingan strategik bersama AS yang mana kerajaan juga giat memperkukuh hubungan perdagangan melalui pelbagai inisiatif seperti pembelian strategik pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG), serta memperluas kerjasama digital dengan gergasi teknologi seperti Google dan Microsoft.

"Langkah ini disokong oleh dasar pelaburan mesra industri termasuk perlindungan hak harta intelek," katanya.

Mengulas strategi ketiga, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kerajaan bercadang memberi sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pengeksport terjejas dengan menambah jaminan kerajaan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) serta dana RM500 juta melalui institusi kewangan pembangunan (DFI) bagi membantu syarikat yang terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi global.

"Strategi keempat menyentuh keperluan mempelbagaikan pasaran antarabangsa ke Eropah, Asia Tengah dan Amerika Selatan.

"Dalam masa sama, perdagangan serantau juga diperhebat melalui projek seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pembangunan sempadan Malaysia-Thailand dan kerjasama ekonomi Asean termasuk pelaksanaan Grid Kuasa Asean.

"Kerajaan turut memperuntukkan RM1 bilion untuk menaik taraf prasarana sempadan Sarawak dan Sabah dengan Kalimantan, serta membuka rundingan perdagangan baharu dengan Kesatuan Eropah (EU), Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC)," katanya.

Perdana Menteri berkata, strategi kelima adalah mempercepat pelaksanaan projek dan pelaburan seperti tebatan banjir dan pembaikan sekolah daif.

"Had sebut harga kontraktor kecil dinaikkan bagi mempercepat kerja-kerja penyelenggaraan. Selain itu, pusat sehenti pelaburan, Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) akan diperluas ke Pulau Pinang dan Sarawak untuk memudahkan pelabur," katanya.

Strategi terakhir pula, beliau berkata, ia adalah meneruskan agenda pembaharuan ekonomi melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dengan fokus turut diberikan kepada teknologi masa depan seperti kecerdasan buatan (AI) dan post-quantum cryptography.

"Kerajaan juga menganugerahkan projek solar berskala besar sebanyak 2,000MW di bawah program solar berskala besar 5 (LSS5), dan akan menambah kuota dalam masa terdekat," katanya.

Anwar berkata, kerajaan tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada penyelesaian jangka pendek, sebaliknya pembaharuan struktur mesti diteruskan agar ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dan maju untuk generasi akan datang.

 

(Web Source: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2025/05/1215200/sedia-runding-kemungkinan-tarif-dikurangkan-anwar)