Bajet 2022: Kerajaan naikkan had jaminan SJPP kepada RM10 bilion

Bernama Malay

29 October 2021

Bajet 2022: Kerajaan naikkan had jaminan SJPP kepada RM10 bilion

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Kerajaan akan menambah baik Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dengan menyediakan jaminan untuk pembiayaan yang dijadual dan distruktur semula dengan tambahan had jaminan sebanyak RM10 bilion termasuk RM2 bilion yang dikhaskan untuk bumiputera.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata inisiatif ini akan membantu syarikat mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperolehi.

“Untuk mengurangkan kos transaksi, pengecualian duti setem akan diberikan ke atas dokumen transaksi penjadualan dan penstrukturan semula pembiayaan,” katanya semasa membentangkan Bajet 2022: Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul berkata sehingga kini, SJPP telah memberikan jaminan pembiayaan perniagaan bernilai lebih RM46 bilion kepada lebih 44,000 syarikat.

Katanya, SJPP telah membantu memudahkan Perusahaan Kecil dan Sederhana mendapat pembiayaan dalam tempoh sukar ini.

-- BERNAMA

 

(Web source: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=2018120)