Bajet 2022: RM40 bilion bagi Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia, kembali keupayaan perniagaan

Bernama Malay

29 October 2021

Bajet 2022: RM40 bilion bagi Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia, kembali keupayaan perniagaan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Pakej pembiayaan dengan nilai keseluruhan RM40 bilion disediakan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) bagi tahun 2022 dalam usaha mengembalikan keupayaan perniagaan, terutama untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan sektor informal.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen hari ini berkata skim pembiayaan ini merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti dengan sasaran memanfaatkan setiap golongan usahawan termasuk perusahaan mikro dan syarikat tersenarai awam.

Beliau berkata pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.8 bilion akan disediakan melalui pelbagai agensi seperti TEKUN, Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia.

“Skim Pembiayaan Informal dan Mikro di bawah TEKUN akan menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah sifar peratus berserta moratorium selama 12 bulan dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal dan mikro.

“Selain itu, BSN dan Agrobank juga akan menawarkan pinjaman mikro sehingga RM75,000 pada kadar sifar peratus untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kerajaan akan meneruskan Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) dengan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi memulihkan aktiviti koperasi yang terjejas selain penyaluran dana sebanyak RM30 juta untuk Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi.

Beliau berkata kerajaan turut memperuntukkan RM20 juta bagi tujuan menyokong perluasan Program iTEKAD iaitu program kewangan sosial yang menawarkan modal permulaan, kredit mikro dan latihan kemahiran kepada usahawan mikro.

Sementara itu beliau berkata Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan ditambah baik dengan menyediakan jaminan untuk pembiayaan yang dijadual dan distruktur semula dengan tambahan had jaminan sebanyak RM10 bilion termasuk RM2 bilion dikhaskan buat bumiputera.

“Ini akan membantu syarikat mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperolehi. Untuk mengurangkan kos transaksi, pengecualian duti setem akan diberikan ke atas dokumen transaksi penjadualan dan penstrukturan semula pembiayaan,” katanya.

Sementara itu, kerajaan bercadang melanjutkan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian dan pembaharuan premis sehingga RM300,000 sehingga 31 Disember 2022, bagi kerja-kerja mengubah suai fasiliti perniagaan supaya mematuhi keperluan prosedur operasi standard (SOP) seperti pengudaraan.

Tengku Zafrul juga mengumumkan pelanjutan satu tahun bagi potongan cukai tambahan sehingga RM50,000 ke atas perbelanjaan sewaan premis penginapan pekerja bagi syarikat yang berdaftar di bawah Safe@Work.

Bagi menambah peluang penyertaan dalam perolehan kerajaan, beliau berkata syarat keperluan pendaftaran akan dipermudahkan dan syarikat yang pertama kali mendaftar sijil pendaftaran perniagaan Kementerian Kewangan dikenakan bayaran RM150 berbanding RM450 sebelum ini.

Katanya, syarikat yang beroperasi daripada premis perniagaan jenis SOHO, shared partition dan co-working space juga dibenarkan mendaftar.

Beliau turut memaklumkan sebuah ‘Business Travellers Centre’ telah dibuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan sebuah pusat sehenti yang sama akan disediakan di Johor pada tahun depan untuk Pelawat Perniagaan Jangka Pendek dari Singapura dengan kos RM10 juta.

“Pusat ini memudahkan ketibaan Pelawat Perniagaan Jangka Pendek yang dikecualikan daripada menjalani kuarantin wajib tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat,” katanya.

-- BERNAMA

 

(Web source: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=2018151)