Bernama Malay
8 December 2021
Bank Muamalat, SJPP meterai perjanjian akses pembiayaan untuk usahawan
KUALA LUMPUR, 8 Dis -- Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) memeterai perjanjian bagi membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat bersaiz sederhana (MSC) mendapat akses pembiayaan.
Dalam kenyataan bersama hari ini, dua pihak terbabit berkata perjanjian itu memberi kemudahan kepada pelanggan perniagaan Bank Muamalat memohon Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS) yang menawarkan bantuan menerusi pembiayaan baharu, penstrukturan semula kemudahan pembiayaan sedia ada dan pembiayaan modal kerja lanjutan bagi membantu usahawan terbabit menghidupkan semula perniagaan masing-masing.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin berkata perjanjian itu hanya mengesahkan lagi komitmen bank berkenaan dalam memacu usaha membantu pihak PKS dan MSC memperkukuh kedudukan serta memberi tumpuan untuk meningkatkan daya tahan dalam mengharungi fasa krisis COVID-19.
“Bank Muamalat akan terus membantu perniagaan mendapatkan modal yang diperlukan serta menjadi teras dalam memastikan pemulihan dan pertumbuhan seterusnya perniagaan itu,” katanya.
Beliau berkata, bank tersebut juga mempunyai program pembiayaan sedia ada seperti Program Pembiayaan Dana Rantaian Bekalan Bumiputera Teraju bagi sector penjagaan kesihatan (BSC Penjagaan Kesihatan) dan Program Pembiayaan Vendor Automotif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).
Sementara itu, Pegawai Prinsipal SJPP Chen Yin Heng berkata kerajaan sememangnya komited dalam usaha penyediaan sokongan berterusan kepada PKS serta MSC menerusi pelbagai inisiatif, termasuk PGGS dengan peruntukan sebanyak RM20 bilion.
“Yuran jaminan kami adalah antara 0.75 peratus hingga hingga 1.0 peratus setahun berserta jaminan kerajaan yang menawarkan kadar pembiayaan kompetitif oleh institusi kewangan sehingga RM20 juta,” katanya.
Skim Jaminan Kerajaan yang diwujudkan oleh kerajaan dan diuruskan oleh SJPP, telah dimanfaatkan secara meluas dengan jaminan bernilai lebih RM47 bilion telah disalurkan kepada lebih 45,000 PKS dalam semua industri seperti pembuatan, perkhidmatan, peruncitan dan perdagangan.
-- BERNAMA
(Web source: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=2031654)