BELANJAWAN 2024 SEDIA LANDSKAP WAJAR BAGI PACU SYARIKAT OGSE – MPRC

Bernama Malay

13 October 2023

BELANJAWAN 2024 SEDIA LANDSKAP WAJAR BAGI PACU SYARIKAT OGSE – MPRC

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2024 dilihat sebagai menyediakan landskap wajar bagi memacu syarikat-syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) memperkukuh asas industri serta menjamin kemampanannya, kata Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC).

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Yazid Ja'afar turut menyifatkan belanjawan yang dibentangkan pada Jumaat itu, merangkumi peruntukan besar bagi memajukan inisiatif pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), peningkatan kemahiran dan pensijilan serta memacu kemasukan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Kesemua inisiatif ini penting bagi syarikat-syarikat OGSE yang banyak bergantung kepadakelangsungan bekalan bakat atau tenaga kerja berkemahiran tinggi namun terpaksa bergelut dengan kekurangan pekerja.

“Pada masa sama, mereka perlu mengekalkan sekurang-kurangnya 60,000 pekerja mahir menjelang 2030 bagi memastikan terus mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas cadangan kerajaan membabitkan peruntukan dana RM8 bilion di bawah Bank Negara Malaysia untuk menyokong pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) manakala Syarikat Jaminan Pinjaman Perniagaan  (SJPP) menjamin sehingga 80 peratus pinjaman usahawan PKS dalam bidang ekonomi hijau, teknologi dan halal dengan dana sehingga RM20 bilion yang boleh memberi manfaat kepada syarikat OGSE dan PKS.

Peruntukan sedemikian, kata Mohd Yazid, dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan lagi akses syarikat OGSE ke atas pembiayaan selain mengukuhkan aliran tunai mereka.

Malah, MPRC turut mengakui kepentingan insentif cukai dalam memacu pelaburan serta menarik lebih banyak syarikat OGSE menyertai usaha peralihan tenaga.

Di samping itu, kajian komprehensif mengenai insentif cukai untuk usaha penangkapan dan penyimpanan karbon dan hidrogen di bawah Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, juga

dapat memacu  lebih banyak pelaburan dalam teknologi tenaga bersih dan menggalakkan penglibatan syarikat OGSE dalam segmen tersebut.

MPRC turut menyambut baik Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga dan Dana Peralihan Karbon Rendah kerana kemudahan ini dapat membantu syarikat OGSE ke arah amalan tenaga lebih lestari.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Sushil Purohit pula menyifatkan insentif cukai bagi penggiat kenderaan elektrik (EV) serta Skim Insentif Penggunaan Motosikal Elektrik, dapat merangsang peralihan kepada EV.

“Inisiatif terangkum ini yang menawarkan rebat sehingga  RM2,400 kepada pembeli yang berpendapatan tahunan sebanyak RM120,000 dan ke bawah, akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia ke arah mobiliti lebih hijau,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut, Sushil insentif tersebut juga menyumbang kepada sasaran kerajaan dalam usaha pemasangan 10,000 kemudahan pengecasan EV menjelang 2025 di bawah Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.

“Kehadiran lebih banyak EV di jalan raya Malaysia akan mendorong pihak berkepentingan untuk meningkatkan lagi pemasangan kemudahan pengecasan itu,” katanya.

Beliau juga melihat usaha kerajaan meningkatkan Program Tenaga Hijau Korporat dan meneroka model akses pihak ketiga, tidak hanya  mencerminkan usaha Gentari dalam meningkatkan pelaburan dan pembangunan kapasiti tenaga boleh baharu, namun turut memberi manfaat kepada penggiat dalam landskap tenaga berkenaan di negara ini.

-- BERNAMA

 

(Web Source: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2234818)