Belanjawan 2025: RM40 bilion untuk kemudahan pinjaman PKS, PMKS

Harian Metro

18 Oktober 2024

Belanjawan 2025: RM40 bilion untuk kemudahan pinjaman PKS, PMKS

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM40 bilion sebagai kemudahan pinjaman serta jaminan pembiayaan perniagaan di bawah agensi kerajaan untuk sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini berkata, dalam memacu ekonomi subur tidak hanya tergantung kepada konglomerat utama, malah 90 peratus ekonomi melibatkan perusahaan PMKS yang menggaji hampir separuh pekerja dan menyumbang 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Memandangkan ini, kerajaan memutuskan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan PMKS dalam bidang-bidang tumpuan seperti keterjaminan makanan, peralihan tenaga dan digital.

"Pinjaman bersaiz mikro tersedia sehingga RM3.2 bilion antaranya oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasionaldan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi membantu penjaja kecil termasuk komuniti orang kurang upaya (OKU), masyarakat Cina serta Bumiputera.

"Bank Pembangunan Malaysia Berhad menyediakan dana pembiayaan RM6.4 bilion antaranya bagi menyokong pembiayaan sektor pembangunan infrastruktur, digitalisasi, pelancongan, logistik dan pengangkutan serta tenaga boleh baharu dan peralihan.

"Kerajaan melalui Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan terus menjamin pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sehingga RM20 bilion termasuk jaminan RM5 bilion khas untuk PKS Bumiputera," katanya.

Beliau berkata, dana pinjaman PKS sebanyak RM3.8 bilion disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) antaranya bagi menyokong usahawan untuk beralih ke arah digital dan automasi selain terus membantu sektor agromakanan dan amalan lestari.

Menurutnya, RM650 juta juga akan dikhususkan untuk menyokong wanita dan belia menceburi bidang keusahawanan.

"Bagi memelihara modal insan, sosial dan kebajikan masyarakat India pula, sebanyak RM130 juta disediakan khusus untuk melaksanakan pelbagai program termasuk pembiayaan perniagaan komuniti India," katanya.

Anwar berkata, sebanyak RM50 juta diperuntukkan sebagai Geran Padanan Digital untuk PMKS dan Geran Digital Penjaja di bawah BSN untuk usahawan tempatan kekal berdaya saing dalam pasaran sekali gus bagi meningkatkan kapasiti perniagaan PMKS dengan beralih ke arah pendigitalan.

Beliau berkata, sebanyak RM100 juta juga disediakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tempoh lima tahun bagi memperkasa fungsi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Pusat NADI) di seluruh negara sebagai platform komuniti meningkatkan pendapatan melalui aktiviti keusahawanan dalam talian.

 

(Web Source: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2024/10/1145793/belanjawan-2025-rm40-bilion-untuk-kemudahan-pinjaman-pks-pmks)