Sinar Harian
10 October 2025
Belanjawan 2026: Ekosistem industri halal terus diperkasa
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membentangkan Belanjawan 2026 di Bangunan Parlimen, pada Jumaat. Foto Bernama
KUALA LUMPUR — Ekosistem industri halal negara terus diperkasa menerusi Belanjawan Madani keempat yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, antara langkah utama termasuk usaha mempercepat urusan pengeluaran sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan kecekapan proses pensijilan serta memperkukuh keyakinan pengguna dan pelabur.
Dalam masa sama, Halal Development Corporation (HDC) digerakkan untuk menggalakkan pematuhan halal dalam kalangan syarikat tempatan agar piawaian produk dan perkhidmatan terus menepati standard antarabangsa.
"Kerajaan turut memberi tumpuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) halal dengan SME Bank menawarkan pembiayaan khas berjumlah RM100 juta bagi membantu pengusaha memperluas perniagaan masing-masing," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Beliau berkata, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) pula meningkatkan jaminan kerajaan bagi pembiayaan PKS halal kepada RM2 bilion, berbanding RM1 bilion sebelum ini bagi memperkukuh akses pembiayaan kepada pengusaha industri tersebut.
Selain itu, kerajaan akan membangunkan Taman Industri Halal Perak di daerah Manjung dengan kos RM124 juta, sebagai usaha memperluas pembangunan infrastruktur halal di luar Lembah Klang.
Langkah-langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal global yang berdaya saing dan berimpak tinggi.
(Web Source: https://www.sinarharian.com.my/article/751822/khas/belanjawan/belanjawan-2026-ekosistem-industri-halal-terus-diperkasa)

