Belanjawan 2026 perkukuh pelaburan JS-SEZ, pembangunan belia Johor – Iskandar Investment

Dagang News

13 October 2025

Belanjawan 2026 perkukuh pelaburan JS-SEZ, pembangunan belia Johor – Iskandar Investment

KUALA LUMPUR 13 Okt – Belanjawan 2026 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 10 Oktober 2025, bakal memperkukuh kedudukan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

Iskandar Investment Berhad (IIB) berkata, dana besar disediakan kerajaan dilihat sebagai pemacu pertumbuhan strategik negara serta merancakkan pembangunan belia berkemahiran tinggi di Johor.

Agensi itu menilai peruntukan dibentangkan sebagai positif serta menyatakan komitmen penuh menjayakan agenda kerajaan dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi dan membangunkan bakat tempatan.

"IIB yakin Belanjawan 2026 mengukuhkan inovasi digital dan kelestarian wilayah selatan serta memuji langkah kerajaan untuk mempercepat proses pembangunan JS-SEZ," katanya dalam kenyataan.

Ini termasuk Invest Malaysia Facilitation Centre – Johor dan Johor Super Lane, yang meningkatkan kecekapan pelaburan serta memperteguhkan kedudukan Johor sebagai pintu masuk ekonomi serantau.

Jelas agensi berkenaan, sehingga tempoh separuh pertama 2025, JS-SEZ sudah mencatat RM37.1 bilion pelaburan yang diluluskan, iaitu kira-kira 66% daripada keseluruhan pelaburan negeri tersebut.

Sementara jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang masuk ke Johor pula tambah IIB, mencecah sebanyak RM25.5 bilion, iaitu angka paling tinggi di Malaysia bagi tempoh enam bulan tersebut.

"Kami turut menyambut baik komitmen Khazanah Nasional Berhad memperuntukkan RM200 juta Program K-Youth, yang menyediakan latihan sambil bekerja kepada 11,000 belia tanpa ijazah," katanya lagi.

Golongan tersebut jelas IIB, akan menerima bimbingan dalam sektor utama berpotensi besar seperti semikonduktor, digital, kejuruteraan serta aspek penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

Sebagai rakan pelaksana strategik, ia bekerjasama dengan Khazanah, institusi pendidikan, penyedia latihan dan Johor Talent Development Council (JTDC) untuk memperkasa kebolehpasaran belia Johor.

Agensi itu katanya, juga berpotensi bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi melaksanakan pelbagai inisiatif terbaharu.

"Ini meliputi kecerdasan buatan (AI) serta Rangkaian Pusat Inovasi dan Penyelidikan (RDCI) di bawah Agenda Inovasi Nasional, yang melonjakkan Johor sebagai hab digital di wilayah selatan," katanya.

Selaras komitmen kelestarian, IIB menyambut baik pelaksanaan Elaun Cukai Pelaburan Hijau yang menggalakkan pembangunan bandar pintar rendah karbon dan tenaga cekap di Iskandar Malaysia.

Selain itu, agensi berkenaan turut menyokong kerjasama dalam program rumah pertama berharga bawah RM500,000 seunit sebagai pemangkin pembangunan Wawari West Park Homes di Iskandar Puteri.

Bagi perkukuh kedudukan kewangan, IIB juga akan memanfaatkan inisiatif kerajaan seperti GEAR-Up dan bantuan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) melalui strategi kitar semula modal.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, Belanjawan 2026 meneguhkan daya saing ekonomi menerusi keseimbangan kemajuan fizikal dan modal insan.

“Kami percaya kombinasi pelaburan strategik, pembangunan bakat dan teknologi hijau akan memangkin kemajuan Johor sebagai hab ekonomi serantau yang mampan dan berdaya saing,” katanya.

Selaras dengan Tekad Menjuarai Ekonomi Bernilai Tinggi, IIB berhasrat meletakkan dirinya sebagai enjin selatan dan menyumbang kepada kemakmuran negara secara inklusif. - DagangNews.com

 

(Web Source: https://www.dagangnews.com/article/terkini/belanjawan-2026-perkukuh-pelaburan-js-sez-pembangunan-belia-johor-iskandar-investment-59247)