Belanjawan 2026: RM100 juta dana SME Bank dan RM2 bilion SJPP sokong industri halal

Dagang News

10 October 2025

Belanjawan 2026: RM100 juta dana SME Bank dan RM2 bilion SJPP sokong industri halal

KUALA LUMPUR 10 Okt – Belanjawan 2026 menggariskan pelbagai insentif untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal utama dunia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kini sedang mempergiatkan usaha untuk mempercepatkan proses pengeluaran sijil halal manakala Halal Development Corporation (HDC) pula memperhebatkan program galakan pematuhan halal dalam kalangan syarikat tempatan.

“Dalam usaha memperkukuh pembiayaan industri halal, SME Bank menawarkan dana khusus berjumlah RM100 juta bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sektor halal.

“Selain itu, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) pula meningkatkan jaminan kerajaan bagi pembiayaan PKS halal kepada RM2 bilion, berbanding RM1 bilion sebelum ini yang akan membuka lebih luas akses modal kepada usahawan halal.

“Bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang, kerajaan akan membangunkan Taman Industri Halal Perak di Manjung dengan kos RM124 juta, yang dijangka menjadi pemangkin utama kepada rantaian nilai halal negeri dan peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Selaras dengan semangat ekonomi MADANI, Anwar berkata, kerajaan turut mengangkat konsep wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah yang berdaya tahan.

“UDA Holdings Berhad menerajui pembangunan tanah wakaf di Pulau Pinang melalui Projek Taman Wakaf Seetee Aisah Fasa 2 dan 3 serta Taman Sultan Sallehuddin Fasa 1B dan 2B dengan nilai pelaburan hampir RM250 juta.

“Selain itu, sukuk wakaf tunai berinovasi dengan pembayaran digital akan diperkenalkan bagi membiayai keperluan kritikal termasuk pendidikan khas, pusat autisme dan pusat rawatan paliatif di Malaysia.

“Semua inisiatif yang diperkenalkan ini membolehkan sumbangan individu diterjemahkan kepada pembiayaan mampan bagi pembangunan sosial,” katanya.- DagangNews.com

 

(Web Source: https://www.dagangnews.com/article/terkini/belanjawan-2026-rm100-juta-dana-sme-bank-dan-rm2-bilion-sjpp-sokong-industri-halal-59159)