TVS
10 October 2025
Belanjawan 2026: RM2.4 bilion sokong kelangsungan kontraktor Bumiputera
Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas selesai membentangkan Belanjawan 2026 di Bangunan Parlimen, hari ini. Foto, Bernama.
KUALA LUMPUR, 10 Okt: Kerajaan menyalurkan sejumlah RM2.4 bilion khusus untuk kontraktor Bumiputera G1 hingga G4 dalam Belanjawan 2026, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu jelas Perdana Menteri, sebanyak RM10 bilion daripada RM30 bilion jaminan kerajaan di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) turut dikhaskan bagi menyokong usahawan Bumiputera termasuk pinjaman untuk PKS dan kontraktor muda industri pembinaan.
“Program Jaguh Serantau SME Bank menyediakan pinjaman RM200 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera untuk menembusi pasaran eksport.
“Program Penskalaan Usahawan Bumiputera MARA menyediakan RM100 juta bagi menyokong pertumbuhan syarikat mula niaga dalam sektor strategik bernilai tinggi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar turut memaklumkan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan menyediakan RM10 juta bagi meningkatkan daya saing usahawan Bumiputera khususnya kontraktor muda industri pembinaan. – TVS
Video Link: https://youtu.be/HPqvkJLJxPE
(Web Source: https://www.tvsarawak.my/2025/10/10/belanjawan-2026-rm2-4-bilion-sokong-kelangsungan-kontraktor-bumiputera/)

