Berita Harian
17 March 2021
BNM tambah RM700 juta untuk PKS

Bank Negara Malaysia (BNM)
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM700 juta untuk Kemudahan Automasi dan Digital (ADF) Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya meningkat kepada RM1 bilion.
Ia berkata, ADF yang ditubuhkan pada Mac 2020, bertujuan untuk menggalakkan PKS di semua sektor mengautomasikan proses dan mendigitalkan operasi bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan.
Katanya, ADF terbuka kepada semua PKS Malaysia, dengan jumlah pembiayaan maksimum hingga RM3 juta bagi setiap PKS dan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun.
"Kadar pembiayaan adalah hingga 4.0 peratus setahun, termasuk yuran jaminan. Perlindungan jaminan disediakan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).
"Kemudahan ini disediakan hingga 31 Disember 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya, mana yang lebih awal," katanya dalam satu kenyataan.
PKS juga boleh memohon kemudahan pembiayaan lain di bawah Dana BNM untuk PKS.
PKS yang berminat boleh merujuk bnm.gov.my/covid19/ atau menghubungi kami di bnm.my/LINK sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan berhubung dengan kemudahan pembiayaan yang disediakan BNM.
Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/03/797246/bnm-tambah-rm700-juta-untuk-pks

