Dewan Rakyat: RM219 juta diluluskan di bawah SJPP bagi bantu PMKS setakat 30 Jun

TVS

2 July 2026

Dewan Rakyat: RM219 juta diluluskan di bawah SJPP bagi bantu PMKS setakat 30 Jun

 Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Foto Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 2 Julai: Lebih 300 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerima manfaat daripada jaminan pembiayaan berjumlah RM219 juta yang diluluskan di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi tempoh 15 Mei hingga 30 Jun 2026.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pembiayaan itu melibatkan sektor agro, pembinaan, logistik dan pelancongan yang terkesan akibat krisis ekonomi globan susulan konflik berterusan di Asia Barat.

“Kita (SJPP) sentiasa bekerjasama dengan pihak bank untuk membantu PMKS melalui penstrukturan semula dan penjadualan pembayaran supaya mereka dapat meneruskan operasi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) mengenai inisiatif kerajaan bagi memastikan peniaga kecil, penjaja dan PMKS tidak terus terbeban akibat tekanan ekonomi global.

Dalam perkembangan berkaitan, Amir Hamzah berkata Bank Negara Malaysia (BNM) memperuntukkan RM5 bilion di bawah SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) bagi membantu PMKS yang terkesan.

Menurutnya, sejak dilancarkan pada pertengahan Mei tahun ini, hampir RM1 bilion telah diluluskan kepada lebih 1,500 PMKS.

“Dengan baki dana sekitar RM4 bilion yang masih tersedia, ruang pembiayaan bagi permohonan seterusnya adalah mencukupi,” ujarnya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan peruntukan RM15 bilion telah memberi manfaat kepada hampir 9 juta penerima di seluruh negara.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan turut melibatkan SARA untuk Semua yang memberi manfaat kepada 22 juta rakyat, sekali gus merancakkan ekonomi domestik melalui peningkatan kuasa beli rakyat.

“Bantuan ini bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup, tetapi turut menyokong perniagaan tempatan apabila perbelanjaan dibuat di kedai runcit, pasar dan premis perniagaan,” katanya.

“Setakat Jun 2026, lebih 13,000 rakan niaga SARA termasuk 6,000 kedai runcit kecil telah terlibat dalam pelaksanaan program berkenaan,’ katanya. – TVS

 

(Web source: https://www.tvsarawak.my/2026/07/02/dewan-rakyat-rm219-juta-diluluskan-di-bawah-sjpp-bagi-bantu-pmks-setakat-30-jun/)