Berita Harian
7 May 2025
Elak jadi 'pelanduk tersepit' di tengah perang tarif kuasa besar
Dalam percaturan geopolitik dan perang dagang antara kuasa besar, negara sedang membangun seperti Malaysia mudah menjadi 'pelanduk tersepit di tengah-tengah gajah sedang bertarung'. Ketegangan tarif timbal balas antara Amerika Syarikat (AS) dengan China dan lebih 150 negara dan wilayah, bukan sekadar soal angka peratusan import dan eksport, sebaliknya menyentuh hak kedaulatan negara, dasar Bumiputera, kelangsungan serta daya saing vendor tempatan serta keupayaan kita untuk mempertahankan sektor strategik negara.
Dalam hal ini, kerajaan perlu lebih proaktif dan bukan hanya bergantung kepada mekanisme sedia ada, sebaliknya memastikan setiap rundingan menjamin hak negara untuk terus mengangkat keutamaan tempatan, melindungi industri sensitif dan tidak tunduk pada tekanan tarif serta tidak mengorbankan keadilan ekonomi untuk rakyat sendiri.
Foto hiasan. – Reuters
Sudah tentu antara usaha banyak negara, termasuk China memperluas pasaran, kita tidak mahu Malaysia menjadi 'tapak pelupusan' produk luar yang terpaksa dialihkan daripada pasaran AS, sama ada dalam jangka pendek mahupun panjang. Dalam situasi perang tarif, produk berlebihan atau tidak kompetitif dari negara lain akan mencari pintu masuk baharu yang jika Malaysia tidak berhati-hati dan melonggarkan kawalan, pasaran tempatan akan dibanjiri produk luar menekan produktiviti usahawan kita, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pada masa sama, kita mahu pembangkang melaksanakan tanggungjawab 'semak dan imbang' serta memberikan kritikan membina. Meskipun proses rundingan tertakluk kepada perjanjian kerahsiaan (NDA), pembangkang masih boleh memanfaatkan platform Parlimen, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan jawatankuasa pilihan khas Parlimen, selain lebih aktif pada sesi khas taklimat berperingkat atau libat urus dasar strategik dengan menteri berkaitan.
Ketika ekonomi negara berdepan pelbagai cabaran, bukan sahaja impak tarif timbal balas AS, bahkan kesan perang dan geopolitik, sektor swasta terutama PKS perlu lebih inovatif dalam strategi perniagaan. Dana RM1 bilion melalui Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan tambahan RM500 juta melalui Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) bukan hanya suntikan sokongan, tetapi dorongan agar mereka memperkukuh produktiviti, mempelbagaikan pasaran dan mengintai peluang eksport baharu ke Eropah, Asia Barat, Asia Tengah dan Amerika Latin.
Dalam soal pelarasan subsidi pula, walaupun kita mengakui kepentingan memperbetulkan dasar fiskal negara, kerajaan perlu berwaspada. Sebarang langkah diputuskan memerlukan analisis impak mendalam dengan mengambil kira perubahan semasa agar tidak menambahkan beban rakyat yang bergelut dalam ketidaktentuan ekonomi global. Sekiranya pelarasan tetap perlu dilaksanakan, kita mahu sokongan dan subsidi bersasar diperkukuh agar tidak ada mana-mana golongan rentan, B40 atau berpendapatan sederhana tercicir.
Hakikatnya, usaha menangani kesan tarif timbal balas menjadi medan ujian kepada semua pihak daripada eksekutif dan legislatif hingga sektor perniagaan serta rakyat dalam memastikan Malaysia tidak mudah dilenturkan tekanan luar tanpa strategi dalaman yang mantap. Kita bukan 'pelanduk' yang pasrah, sebaliknya perlu menjadi seperti 'kancil' yang pintar hingga dapat 'keluar' daripada medan pertempuran gajah kuasa besar.