Berita RTM
20 April 2026
Inisiatif ‘PowerUp10K’ bantu PMKS depani ketidaktentuan geopolitik global
Gambar hiasan
PUTRAJAYA, 20 April – Inisiatif ‘PowerUp10K’ yang dilaksana Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendepani ketidaktentuan geopolitik global.
Jelas Menterinya, Steven Sim, inisiatif itu melibatkan komitmen menyediakan pembiayaan sehingga RM15 bilion ke dalam pasaran dengan sasaran peningkatan skala sebanyak 10,000 syarikat PMKS.
“Usaha ini bertujuan membantu PMKS bukan sahaja untuk kekal berdaya tahan, malah terus berkembang dan merebut peluang perniagaan.
“Ia selaras dengan semangat Kerajaan MADANI dalam memperkasa ekonomi rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut beliau, usaha itu akan diperkukuh melalui pendekatan ABCD iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran.
Dalam pada itu, kementeriannya turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berhubung inisiatif meringankan tekanan kos PMKS.
Ini termasuk jaminan pembiayaan RM5 bilion melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), kelonggaran e-invois serta pengecualian cukai bersasar.
“Langkah ini tepat pada masanya bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan perlindungan pekerjaan rakyat susulan peningkatan kos operasi akibat krisis tenaga global,” menurut kenyataan itu.
KUSKOP juga akan terus bekerjasama rapat dengan pemegang taruh, khususnya pemain industri dan institusi kewangan, bagi memastikan setiap bentuk sokongan dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan kepada usahawan di lapangan.

