Inisiatif SJPP galak usahawan PMKS berkembang maju

Utusan Borneo

11 October 2024

Inisiatif SJPP galak usahawan PMKS berkembang maju

TERUS BERKEMBANG: Melvin (barisan depan, kiri) bersama kakitangan Moonman Events Sdn Bhd merakamkan kenangan.

Skim di bawah #Belanjawan 2024 itu turut membolehkan syarikat mencari peluang baharu, menambah pendapatan

KUCHING: Inisiatif Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) yang diperkenalkan Kerajaan MADANI di bawah Belanjawan 2024 menggalakkan syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk berkembang maju.

Ini diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Moonman Events Sdn Bhd Melvin Lee Chee Keong yang menyaksikan impak positif inisiatif berkenaan terhadap syarikatnya yang kini mempunyai seramai 62 kakitangan.

Menurut Melvin, 40, syarikatnya merupakan penerima manfaat Skim Jaminan Kerajaan MADANI (GGSM), iaitu salah satu skim di bawah SJPP.

“Di bawah skim SJPP, kami telah memohon dan mendapat kelulusan untuk bantuan GGSM.

“Dengan skim ini, pihak syarikat dapat meneruskan operasi walaupun pada waktu itu, ekonomi negara malah global juga mengalami kemerosotan yang teruk.

“Dengan skim ini juga, syarikat berjaya mengekalkan kedudukan kewangan seperti sedia kala,” ujarnya kepada Utusan Borneo.

Menurutnya, skim itu turut menggalak dan membolehkan syarikat untuk bergerak maju ke hadapan dan mencari peluang baharu untuk menambah pendapatan.

Melvin berkata, bukan mudah untuk mengemudi syarikat pada waktu-waktu sukar, justeru apa jua inisiatif bantuan yang disediakan kerajaan harus dimanfaatkan sebaiknya.

“Kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif bantuan untuk merangsang perniagaan termasuk untuk usahawan PMKS seperti kami.

“Oleh itu, syarikat-syarikat yang layak rebutlah peluang untuk berkembang sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi negara, jika tidak sia-sialah usaha kerajaan,” katanya.

SENTIASA AKTIF: Antara acara yang dianjurkan oleh Moonman Events Sdn Bhd pada tahun ini. Moonman Events merupakan penerima manfaat daripada inisiatif Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP).

Moonman Events Sdn Bhd merupakan penyedia perkhidmatan acara atau majlis seperti pameran, acara secara maya, ‘in-house production’ dan acara berasaskan teknologi tinggi.

Melvin berharap terdapat penambahbaikan dalam skim yang disediakan kerajaan itu agar syarat-syarat sedia ada dilonggarkan kerana masih banyak syarikat yang memerlukan bantuan.

Katanya, dengan demikian ia membuka peluang kepada syarikat-syarikat di negara ini berkembang dan terus berdaya saing.

“Selain itu, dana yang disediakan juga harus ditambah agar lebih ramai yang dapat dibantu dan syarikat dapat kekal beroperasi,” ujarnya.

Beliau turut berharap inisiatif seperti SJPP akan diteruskan pada masa akan datang dan dimasukkan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober ini.

“Kami berharap Kerajaan MADANI dapat meneruskan skim seperti ini pada masa akan datang supaya banyak lagi syarikat di luar sana dapat dibantu,” katanya.

SJPP, yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan, ditubuhkan untuk menghubungkan PMKS dengan institusi-institusi kewangan yang berkaitan.

Ia susulan kemerosotan dihadapi PMKS semasa pandemik COVID-19 dan mereka bergelut dengan cabaran besar untuk memulihkan operasi serta pertumbuhan perniagaan pasca-COVID-19.

PMKS turut menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kemudahan kredit daripada bank dan institusi kewangan disebabkan risiko berkaitan dengan keupayaan pembayaran balik oleh syarikat dan perniagaan yang layak.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 tahun lalu, Perdana Menteri memaklumkan SJPP telah menjamin lebih 100,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS), merangkumi 75 peratus PKS bukan Bumiputera dan 25 peratus PKS Bumiputera dengan nilai keseluruhan diluluskan berjumlah lebih RM75 bilion.

Selain GGSM, skim-skim lain di bawah SJPP ialah Skim Jaminan Kerajaan MADANI 2 (GGSM2), Skim Kemudahan Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PPP) dan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi (SRSBBT).

Menerusi SJPP, Kerajaan MADANI dapat menjalinkan kerjasama lebih erat dengan institusi kewangan dan institusi kewangan bukan perbankan agar dapat memberikan penyelesaian alternatif kepada syarikat dan perniagaan yang menghadapi masalah cagaran.

Menerusi inisiatif itu, Kerajaan Malaysia adalah penjamin ke atas pinjaman diberikan oleh institusi kewangan kepada usahawan.


SEPINTAS LALU: Infografik proses-proses skim jaminan. – Sumber www.sjpp.com.my 

GGSM yang diterima Moonman Events Sdn Bhd menyediakan bantuan pembiayaan kepada PKS dan syarikat bersaiz pertengahan (MSC) Malaysia dengan menyediakan jaminan kerajaan kepada institusi-institusi kewangan yang terlibat untuk pembiayaan yang disediakan bagi semua sektor ekonomi terutama kepada empat sektor iaitu teknologi tinggi, pertanian, pembuatan dan pelancongan.

Selain SJPP, Kerajaan MADANI turut menyediakan bantuan kecil di bawah Belanjawan 2024 untuk membantu golongan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus berdaya saing dalam perniagaan yang semakin mencabar.

Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan 2024 memaklumkan kemudahan pinjaman kecil dengan dana keseluruhan RM2.4 bilion disediakan di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.4 bilion disediakan di bawah pinjaman mikro BSN untuk membantu penjaja dan pengusaha kecil-kecilan menyediakan modal perniagaan, pembelian peralatan, premis serta pemasaran.

Antara yang disediakan termasuk BSN Micro MADANI Istimewa, satu kemudahan pinjaman yang ditawarkan kepada usahawan mikro berstatus orang kurang upaya (OKU) untuk membantu mereka yang berhasrat mengembangkan perniagaan.

Manakala, BSN Micro-i MADANI Istimewa menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000 dengan tempoh bayaran fleksibel dari satu hingga lima tahun.

BSN Micro-i MADANI ialah satu kemudahan pembiayaan yang ditawarkan kepada usahawan mikro untuk membantu mereka yang berhasrat mengembangkan perniagaan.

Tidak ketinggalan bagi peniaga di Sarawak dan Sabah, terdapat BSN Micro-i MADANI Borneo, satu kemudahan pembiayaan yang ditawarkan kepada usahawan mikro di Sarawak dan Sarawak untuk membantu mereka mengembangkan perniagaan.

Sementara itu di bawah TEKUN Nasional, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kerajaan MADANI memperuntukkan sejumlah RM330 juta di bawah Belanjawan 2024 untuk kemudahan pembiayaan peniaga-peniaga kecil dalam perusahaan batik dan kraf, usahawan Orang Asal serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Antara skim yang ditawarkan ialah Skim Pembiayaan TEKUN Niaga iaitu skim pembiayaan di bawah Belanjawan 2024 bagi usahawan menampung keperluan perniagaan.

Di bawah BNM pula, dana pinjaman berjumlah RM8 bilion disediakan untuk menyokong syarikat PKS.

Daripada jumlah itu, RM600 juta khusus untuk membantu perusahaan mikro dan usahawan berpendapatan rendah, kontraktor kecil, penerapan amalan kelestarian dan sektor berkaitan keterjaminan makanan.

Diuruskan oleh Prokhas Sdn Bhd, usahawan berminat boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai SJPP menerusi pautan https://www.sjpp.com.my/ms/soalan-lazim.

  

(Web Source: https://www.utusanborneo.com.my/2024/10/11/inisiatif-sjpp-galak-usahawan-pmks-berkembang-maju)