Jaminan pembiayaan RM5 bilion SJPP, sokong aliran modal PMKS- MATRADE

Buletin TV3

21 April 2026

Jaminan pembiayaan RM5 bilion SJPP, sokong aliran modal PMKS- MATRADE

 Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR: Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata jaminan pembiayaan sebanyak RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka dapat membantu keperluan modal kerja Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Beliau berkata, kemudahan itu khususnya memberi manfaat kepada PMKS yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran dan rantaian eksport.

”Ini kerana RM5 bilion tersebut akan membantu PMKS menjana modal kerja mereka. Dalam sesebuah syarikat pengeluaran, elemen paling penting adalah modal kerja (working capital).

”Jadi, dengan adanya dana jaminan RM5 bilion ini, saya berpendapat ia akan memberi kesan yang amat besar kepada PMKS,” katanya pada sidang media berkaitan Prestasi Perdagangan Suku 1/2026.

Datuk Seri Reezal Merican berkata, akses kepada modal kerja adalah penting bagi memastikan kelangsungan operasi perniagaan, terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Selain itu, katanya perbelanjaan perniagaan perlu diteruskan terutama dalam keadaan ekonomi semasa bagi mengekalkan momentum aktiviti ekonomi, namun pada masa yang sama ia perlu diurus dengan lebih berhemah bagi mengelakkan berlaku ketirisan.

Semalam, kerajaan mengumumkan beberapa langkah segera bagi meringankan tekanan kos perniagaan termasuk jaminan pembiayaan RM5 bilion di bawah SJPP, dengan kadar jaminan sehingga 80 peratus serta tempoh jaminan dilanjutkan sehingga 10 tahun.

Langkah itu dijangka membantu memperkukuh aliran tunai dan modal kerja syarikat, sekali gus mengekalkan momentum perdagangan negara dalam keadaan kos operasi yang mencabar.

 

(Web source: https://www.buletintv3.my/nasional/jaminan-pembiayaan-rm5-bilion-sjpp-sokong-aliran-modal-pmks-matrade/)