Malaysia Gazette
25 August 2025
Jangan lepaskan peluang miliki rumah melalui SJKP – Vigneswaran
KUALA LUMPUR – Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bernilai RM2.5 bilion mampu meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan masyarakat India.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, skim itu bukan sekadar inisiatif kewangan tetapi ia merupakan jalan keluar kepada mereka yang masih menyewa atau tinggal di kediaman tidak tetap akibat kesukaran mendapat pinjaman bank kerana pendapatan tidak konsisten.
“Ramai dalam komuniti kita yang layak, tetapi tidak sedar tentang kewujudan skim ini. Jangan tunggu sehingga terlambat.
“SJKP diwujudkan khas untuk mereka yang berusaha memiliki rumah tetapi gagal mendapat pembiayaan. Inilah masa untuk kita rebut peluang kerana ia boleh mengubah taraf hidup keluarga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Negara baru-baru ini, Vigneswaran berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi isyarat jelas tentang keutamaan kerajaan dalam menyokong komuniti India melalui pelbagai bentuk bantuan dan skim pembangunan.
Antaranya membabitkan peruntukan RM972 juta untuk bantuan tunai di bawah SARA/STR, RM600 juta bagi Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan RM2.5 bilion untuk SJKP yang diuruskan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad.
Menurut Vigneswaran, SJKP menawarkan pembiayaan sehingga RM500,000 yang merangkumi kos guaman, penilaian dan insurans gadai janji.
Skim ini juga terbuka kepada golongan bekerja sendiri serta mereka yang terlibat dalam ekonomi gig dengan syarat kelayakan lebih longgar berbanding pinjaman perumahan biasa.
Sementara itu, Presiden MIC tersebut meminta semua pemimpin cawangan dan ketua masyarakat India memainkan peranan lebih aktif dalam mempromosikan skim berkenaan serta membantu komuniti membuat permohonan. – MalaysiaGazette
(Web Source: https://malaysiagazette.com/2025/08/25/jangan-lepaskan-peluang-miliki-rumah-melalui-sjkp-vigneswaran/)