Dagang News
20 August 2025
Keadilan mesti untuk semua rakyat, baik kaum majoriti mahupun minoriti - PM Anwar
KUALA LUMPUR 20 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pentadbiran Kerajaan Madani berpegang kepada prinsip keadilan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira sama ada daripada kumpulan majoriti atau minoriti.
Menurut beliau, keadilan mesti diberikan kepada kumpulan kaum majoriti Melayu dan juga kaum minoriti lain termasuk Cina, India serta masyarakat pribumi.
“…kalau nak kita selamatkan negara, kena jamin tentunya keadilan bagi yang majoriti dan minoriti. Kita tidak mahu kezaliman kepada majoriti, kita tidak mahu juga kezaliman kepada minoriti. Pendekatan itu harus lebih adil.
“Pendekatan yang kita ambil mesti berasaskan keadilan. Jika ada kelemahan, kita akan lakukan penambahbaikan seperti dalam Belanjawan akan datang,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menjelaskan rasional pendekatan kerajaan dalam mengagihkan bantuan kepada pelbagai komuniti berdasarkan keperluan sebenar.
Sebagai contoh, beliau berkata, sehingga 75% atau kira-kira RM14 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan disalurkan kepada perniagaan Cina, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Ia bukan kerana mereka orang Cina, tetapi kerana majoriti PKS dikawal syarikat Cina. Sumbangan mereka kepada pertumbuhan ekonomi negara adalah penting,” jelasnya.
Beliau juga menekankan inisiatif kerajaan untuk membantu komuniti India, terutama golongan miskin tegar.
"Sejak 2022, sebanyak RM500 juta disalurkan melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR)** dan jumlah itu meningkat kepada RM972 juta tahun ini.
“Orang Melayu yang merangkumi 60% populasi negara menerima RM721 juta di bawah STR. Walaupun ada miskin tegar dalam kalangan Melayu, tetapi yang paling miskin tegar ialah komuniti India. Kita bantu mereka kerana keperluan, bukan kerana mereka India,” katanya.
Dalam ucapannya, Anwar turut menyelar pembangkang yang memainkan isu perkauman termasuk pelantikan Datuk M. Kumar sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Jabatan itu 90% anggotanya Melayu, tetapi ketuanya seorang India. Ini bukan isu. Sesiapa yang layak, dialah yang patut diberikan tanggungjawab,” tegasnya.
Beliau menjelaskan, majoriti pegawai kanan polis masih terdiri daripada orang Melayu termasuk Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara.
Anwar turut memaklumkan bahawa tanah rizab Melayu meningkat di bawah pentadbiran Madani, membuktikan bahawa hak Bumiputera terus dipelihara.
Katanya, pendekatan kerajaan kini ialah berlaku adil terhadap minoriti, berbeza dengan keadaan di beberapa negara lain di mana minoriti – termasuk minoriti Muslim – disisihkan sama sekali.