Kerajaan belum cadang kembalikan GST, fokus pada cukai sedia ada

Warta Oriental

6 March 2024

Kerajaan belum cadang kembalikan GST, fokus pada cukai sedia ada

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berucap dalam majlis peluncuran SJPP dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) di Hotel Hilton Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memfokuskan kepada pelaksanaan cukai yang sedia ada seperti Cukai Perkhidmatan buat masa sekarang, sebelum menilai keperluan untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, beliau berpandangan bahawa GST adalah struktur cukai yang sentiasa dan akan terus dilihat oleh kerajaan.

“Saya rasa, ia akan mengambil masa sebelum kami menilai semuanya (struktur percukaian). Pada masa ini, kami akan fokus pada apa yang kita ada seperti Cukai Perkhidmatan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis peluncuran Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) di sini, Isnin.

Ketika diminta mengulas mengenai kekeliruan yang masih wujud berkaitan Cukai Perkhidmatan, beliau berkata, pihaknya memperakui perkara tersebut.

“Kadang-kadang komunikasi boleh menjadi lebih baik sedikit dan kami menyedari bahawa kami harus melakukan lebih lagi.

“Namun, ada masa masa yang sama, saya lebih bimbang adalah pihak yang mengaut keuntungan kerana sesetengah pihak mengambil peluang apabila ada pengumuman kenaikan (cukai) untuk untuk menaikkan harga walaupun tidak perlu.

“Oleh itu, saya gembira apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan pemantauan kesan pelaksanaan peningkatan kadar Cukai Perkhidmatan,” ujarnya.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh memainkan peranan dan membuat laporan sekiranya mereka merasakan kenaikan harga itu tidak konsisten dengan peningkatan Cukai Perkhidmatan.

Sementara itu, beliau menegaskan, dana sebanyak RM5 bilion daripada jumlah pembiayaan RM20 bilion bagi tahun 2024 yang dijamin di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) dikhususkan untuk syarikat bumiputera.

Jelasnya, dana jaminan itu akan mengutamakan sektor pertumbuhan baharu Ekonomi Madani serta tumpuan juga akan diberikan kepada usaha pendigitalan oleh syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Tumpuan SJPP untuk 2024 dengan peruntukan khusus bagi bidang ekonomi hijau, teknologi moden, penjagaan kesihatan dan halal adalah bagi mendukung kerangka Ekonomi Madani termasuk sektor keutamaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).

“Penyediaan peruntukan jaminan di bawah SJPP adalah bagi memastikan bahawa penstrukturan semula ekonomi bukan hanya melibatkan syarikat besar dan multinasional tetapi turut disokong PMKS yang ingin menceburi bidang pertumbuhan baharu,” katanya.

 

(Web Source: https://wartaoriental.com/2024/03/06/kerajaan-belum-cadang-kembalikan-gst-fokus-pada-cukai-sedia-ada/)