Harian Metro
20 August 2025
Kerajaan jamin keadilan untuk semua kaum – PM
Link: https://youtu.be/lZ45-UG_T70
Putrajaya: Kerajaan komited menterjemahkan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum majoriti atau minoriti dalam setiap pendekatan dengan mengambil kira keperluan rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak mahu mana-mana kaum rasa terpinggir dengan semua manfaat diagihkan berdasarkan keperluan rakyat.
"Kalau mahu selamatkan negara, kita mesti jamin keadilan untuk majoriti dan minoriti. Kita tidak mahu 'tyranny of the majority' (kezaliman ke atas majoriti), kita juga tidak mahu 'tyranny of the minority' (kezaliman ke atas minoriti).
"Sebab itu apa-apa kelemahan kita baiki dalam belanjawan (Belanjawan 2026) dan kita sekarang dengar semua pandangan, dalam belanjawan kita akan ubah suai dan perbaiki kerana tidak semestinya apa yang kita lakukan (sekarang) semua sempurna, ada kelemahan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika hadir Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Anwar berkata, pendekatan Ekonomi Madani bersifat menyeluruh dan tidak hanya fokus kepada satu-satu kaum, sebaliknya berpandukan keperluan sebenar rakyat, khususnya kelompok berpendapatan rendah dan miskin tegar.
Beliau menjelaskan, sebagai contoh, pelbagai inisiatif khusus untuk Bumiputera dilaksanakan menerusi program Putera 35 yang memberi tumpuan kepada isu kemiskinan, perumahan, keusahawanan dan pemilikan tanah termasuk di Sungai Besi.
"Ini kerana 60 peratus rakyat adalah Melayu dan majoritinya berada dalam kelompok miskin. Namun dalam masa sama, kita turut perincikan program untuk kaum lain," katanya.
Perdana Menteri berkata, majoriti komuniti perniagaan Cina pula memperoleh manfaat besar menerusi Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), dengan hampir RM14 bilion pinjaman dijamin kerajaan atau 75 peratus daripada keseluruhan jaminan.
"Ini bukan soal pilih kaum, tetapi kebetulan dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), masyarakat Cina banyak menguasai dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya.
Bagi masyarakat India pula, katanya, bantuan tidak hanya tertumpu kepada peruntukan menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), tetapi diperluas kepada pelbagai bentuk sokongan secara langsung.
Antaranya, masyarakat India menerima RM1.22 bilion menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan tahun ini, manakala Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula merekodkan agihan hampir RM1 bilion bagi golongan itu untuk tahun 2025, meningkat berbanding RM578 juta pada 2022.
Selain itu, katanya, masyarakat India turut menerima manfaat menerusi TEKUN sebanyak RM50 juta, dana tambahan pendidikan bawah MITRA bernilai RM20 juta serta penyertaan dalam program TVET termasuk latihan khas di China yang membabitkan 150 anak muda India.
"Kalau dia miskin tegar, kita bantu. Bukan sebab dia India, Melayu atau Cina. Ini pendekatan kita, adil dan telus," katanya.
(Web Source: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/08/1254491/kerajaan-jamin-keadilan-untuk-semua-kaum-pm?source=widget)