Utusan Malaysia
5 May 2025
Kerajaan naikkan skim jaminan RM1 bilion, bantu PKS atasi kesan tarif AS
ANWAR IBRAHIM - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju meningkatkan jaminan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Permbiayaan Perniagaan (SJPP).
Ia khusus untuk membantu pengeksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas mendapatkan pinjaman daripada bank komersial.
Keputusan itu dibuat kerajaan bagi mengimbangi pengumuman tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia sebanyak 24 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut bersetuju menambah Dana Pembiayaan Mudah sebanyak RM500 juta melalui Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) untuk manfaat usahawan PKS yang terjejas.
“Kerajaan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia menyediakan bantuan bersasar kepada PKS yang secara langsung terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat pada Sidang Khas Parlimen mengenai persediaan kerajaan terhadap dampak pengumuman pentadbiran AS berkenaan tarif timbal balas import terhadap Malaysia hari ini. – UTUSAN
(Web Source: https://www.utusan.com.my/nasional/2025/05/kerajaan-naikkan-skim-jaminan-rm1-bilion-bantu-pks-atasi-kesan-tarif-as/)