Bernama Malay
4 Mac 2024
Kerajaan Peruntuk Dana Jaminan RM5 Bilion SJPP Khusus Untuk Syarikat Bumiputera
Menteri Kewangan ll Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berucap pada majlis Peluncuran Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan - Belanjawan 2024 hari ini. -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5 bilion daripada jumlah pembiayaan RM20 bilion bagi 2024 yang dijamin di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) akan dikhususkan untuk syarikat bumiputera.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata dana jaminan itu akan mengutamakan sektor pertumbuhan baharu Ekonomi MADANI.
Di samping itu, katanya tumpuan juga akan diberikan kepada usaha pendigitalan oleh Syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Dengan pendekatan ini, ia juga dapat memastikan syarikat bumiputera di pelbagai peringkat pertumbuhan mendapat akses kepada pembiayaan.
“Jaminan SJPP untuk syarikat kecil dan sederhana bumiputera akan membantu melengkapkan pembiayaan yang diumumkan semasa Kongres Ekonomi Bumiputera bagi usahawan mikro melalui pembiayaan mikro sebanyak RM1 bilion serta untuk syarikat pemula dan pertumbuhan tinggi melalui dana ekuiti sebanyak RM1 bilion di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan - Belanjawan 2024 di sini hari ini.
-- BERNAMA
(Web Source: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2275803)