Kerajaan peruntuk RM5 bilion pembiayaan khusus untuk bumiputera dalam SJPP

Warta Oriental

5 March 2024

Kerajaan peruntuk RM5 bilion pembiayaan khusus untuk bumiputera dalam SJPP

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berucap dalam majlis peluncuran SJPP dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) di Hotel Hilton Kuala Lumpur di sini, Ahad.

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan sebanyak RM5 bilion daripada jumlah pembiayaan RM20 bilion bagi tahun 2024 yang dijamin di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) dikhususkan untuk syarikat bumiputera.

Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dana jaminan ini juga akan mengutamakan sektor pertumbuhan baharu Ekonomi Madani.

Katanya, tumpuan juga akan diberikan kepada usaha pendigitalan oleh syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Tumpuan SJPP untuk 2024 dengan peruntukan khusus bagi bidang ekonomi hijau, teknologi moden, penjagaan kesihatan dan halal adalah bagi mendukung kerangka Ekonomi Madani termasuk sektor keutamaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).

“Penyediaan peruntukan jaminan di bawah SJPP adalah bagi memastikan bahawa penstrukturan semula ekonomi bukan hanya melibatkan syarikat besar dan multinasional tetapi turut disokong PMKS yang ingin menceburi bidang pertumbuhan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis peluncuran SJPP dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) di Hotel Hilton Kuala Lumpur di sini, Ahad.

Sementara itu, beliau berkata, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) telah meluluskan jaminan kepada lebih daripada 43,000 penerima dengan jumlah pembiayaan melebihi RM8.8 bilion sejak penubuhannya pada 2008.

Mengambil kira perkembangan semasa dengan ramai bekerja dalam sektor informal dan menjadi pekerja gig, beliau berkata, Kerajaan Madani meningkatkan SJKP dengan jaminan tambahan RM10 bilion untuk 2024 dan ia bakal memanfaatkan lebih 40,000 peminjam.

“Skim ini akan memanfaatkan golongan sasar daripada pelbagai latar belakang pekerjaan antaranya nelayan, pekerja gig, peniaga pasar malam dan sebagainya.

“Institusi kewangan juga disarankan supaya lebih peka kepada golongan pekerja tersebut dan mengubah daripada penilaian kredit yang bergantung kepada slip gaji, supaya dapat menilai juga kemampuan pinjaman oleh pekerja dari sektor informal dan gig berdasarkan prestasi pendapatan,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata pinjaman tak berbayar (NPL) bagi SJPP juga suka sudah menurun di bawah dua peratus kini berbanding tujuh peratus sebelum ini.

“Ini menunjukkan skim ini juga semakin baik dan orang ramai juga faham. Ia juga berdaya tahan dan terus menyokong PMKS di Malaysia,” ujarnya.

Mengulas mengenai memperuntukkan dana berjumlah RM1 bilion bagi melahirkan generasi baharu usahawan bumiputera yang diumumkan pada Kongres Ekonomi Bumputera (KEB), beliau berkata, SJPP boleh melengkapkan pembiayaan tersebut.

“Dari segi agihan RM1 bilion yang akan diusahakan bersama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), dana ini akan diperuntukkan dalam perniagaan permulaan atau bidang bernilai tinggi.

“Jadi, kita harap dengan adanya dana yang diterbitkan oleh GLIC ini akan menjadikan satu bahagian yang mereka boleh melabur dalam perniagaan yang diusahakan oleh usahawan bumiputera,” ujarnya.

“ Kerajaan peruntuk RM5 bilion pembiayaan khusus untuk bumiputera dalam SJPP

 

(Web Source: https://wartaoriental.com/2024/03/05/kerajaan-peruntuk-rm5-bilion-pembiayaan-khusus-untuk-bumiputera-dalam-sjpp/)