Dagang News
5 May 2025
Kerajaan rangka strategi khusus pastikan kestabilan ekonomi, pertahan kepentingan negara - PM Anwar
KUALA LUMPUR 5 Mei - Kerajaan mengatur beberapa strategi khusus bagi memastikan kestabilan ekonomi dan pada masa mempertahankan kepentingan negara bagi jangka sederhana bagi berhadapan impak tarif timbal balas daripada Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, lagkah pertama adalah penubuhan Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) yang digunakan untuk memantau petunjuk utama ekonomi seperti tempahan pembuatan, eksport, jualan runcit, pemberhentian pekerja dan pertumbuhan pinjaman.
Pendekatan tersebut adalah untuk mewujudkan platform yang tangkas untuk memperkenalkan langkah dasar (policy response) yang berasaskan data dan berstruktur supaya langkah strategik dibuat pada masa yang diperlukan dan ditumpukan kepada mereka yang terkesan.
"Langkah berikutnya adalah rundingan penyelesaian tarif timbal balas dengan AS dan antara ikhtiar yang telah diusaha bagi menambah baik hubungan perdagangan & pelaburan dua hala termasuk pembelian atau pengimportan strategik daripada AS. Umpamanya, tempahan 30 pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) dengan pilihan untuk 30 pesawat tambahan telah diputuskan tahun lalu dan dimeterai baru-baru ini.
"Proses perdagangan dan pelaburan akan dimudah cara seperti dalam bidang pertanian, kewangan serta digital selain dasar mesra pelaburan juga dirangka bagi mempertingkatkan perlindungan hak harta intelek dalam bidang seperti cip elektronik," katanya dalam sidang khas di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri berkata, strategi seterusnya adalah memberi bantuan kepada pengeksport yang terjejas terutamanya perusahaan kecil dan sederhada (PKS) dengan kerajaan komited untuk membantu perniagaan yang terjejas akibat daripada perkembangan global semasa.
Beliau berkata, sebagai langkah permulaan, Kerajaan bersetuju meningkatkan jaminan kerajaan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) khusus untuk membantu pengeksport PKS yang terjejas mendapatkan pinjaman daripada bank komersial dan kerajaan bersetuju menambah Dana Pembiayaan Mudah sebanyak RM500 juta melalui Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) untuk manfaat usahawan PKS yang terjejas.
"Kerajaan juga akan menggalakkan kerjasama serantau dan pasaran baharu termasuk mempelbagai pasaran perdagangan ke pasaran baharu seperti di Eropah, Asia Barat, Asia Tengah dan Amerika Selatan serta memperkukuh perdagangan serantau terutamanya dengan negara ahli ASEAN.
"Dalam mengukuhkan integrasi ASEAN dan menggalakkan aktiviti ekonomi antara ASEAN melalui projek pembangunan merentasi ASEAN seperti Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid). Seterusnya Malaysia juga terus merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan sempadan negara seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) disediakan insentif khusus.
"Kerajaan Madani menyediakan peruntukan RM1 bilion untuk menaik taraf prasarana di sempadan antara Sarawak dan Sabah dengan Kalimantan Indonesia antaranya bagi memudah cara pergerakan barangan dua hala," katanya.
Perdana Menteri berkata, strategi berikutnya ialah mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dan kelulusan kerajaan termasuk untuk pelaburan dengan memberi fokus kepada penjanaan aktiviti ekonomi domestik terutamanya projek pembangunan dan projek pelaburan.
Katanya, kerajaan akan menumpukan usaha kepada mempercepatkan pelaksanaan projek yang diluluskan terutamanya projek tebatan banjir, pembaikan sekolah daif dan pembinaan klinik. Bagi menyegerakan pelaksanaan, pemantapan prosedur perolehan Kerajaan akan dilaksanakan terutamanya yang melibat kontraktor kecil di kategori G1-G4.
"Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan had sebut harga daripada RM1 juta kepada RM3 juta dan had cabut undi daripada RM100,000 kepada RM200,000 terutamanya untuk mempercepat kerja selenggara serta pembaikan seperti sekolah daif dan klinik," katanya.
Anwar berkata, kerajaan juga akan meneruskan agenda pembaharuan Ekonomi Madani terutamanya dalam memperkukuh daya tahan dan daya saing ekonomi negara.
Beliau berkata, dengan senario global semasa yang mencabar, agenda pembaharuan Ekonomi Madani adalah lebih kritikal untuk diperhebat supaya Malaysia lebih berdaya tahan (domestic resilience) serta terus berdaya saing.
Sebagai usaha memacu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kerajaan telah meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu (RE) terutamanya tenaga solar.
"Kerajaan juga ingin menegaskan, tiada dasar utama negara, termasuk hak Bumiputera, keperluan vendor tempatan atau perlindungan sektor strategik, akan dikompromi dalam mana-mana rundingan," katanya.- DagangNews.com