Kerajaan sedia RM44 bilion perkasa PMKS, PKS

Berita Harian

13 October 2023

Kerajaan sedia RM44 bilion perkasa PMKS, PKS

Gambar fail. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sehingga RM44 bilion dalam bentuk pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk dimanfaatkan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Daripada jumlah keseluruhan itu, kerajaan turut menyediakan kemudahan pinjaman kecil kepada usahawan mikro dan peniaga kecil dengan dana keseluruhan RM2.4 bilion di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional).

"Sejumlah RM1.4 bilion di sediakan di bawah pinjaman mikro BSN adalah untuk membantu menyediakan modal perniagaan, pembelian peralatan, premis serta pemasaran kepada penjaja dan pengusaha kecil-kecilan.

"Sebanyak RM330 juta pula di bawah TEKUN juga adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan kepada peniaga kecil seperti pengusaha batik dan kraf, usahawan Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak, manakala RM30 juta daripadanya disediakan khusus untuk membiayai perniagaan diusahakan masyarakat India

"Daripada jumlah keseluruhan RM2.4 bilion ini, sebanyak RM720 juta dikhaskan untuk menggalakkan golongan wanita dan belia menceburi bidang perniagaan," katanya.

Di bawah BNM juga, Perdana Menteri berkata, sejumlah RM8 bilion dana pinjaman disediakan untuk menyokong syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM600 juta dikhususkan untuk membantu perusahaan mikro dan usahawan berpendapatan rendah, kontraktor kecil, penerapan amalan kelestarian dan sektor berkaitan keterjaminan makanan.

"Bagi 2024, RM600 juta disediakan di bawah Dana Impak Khazanah Nasional Bhd (Khazanah Nasional) dengan keutamaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi lebih banyak peluang kepada komuniti desa, separa bandar dan golongan kurang mendapat perkhidmatan kewangan," katanya.

Anwar berkata, setakat ini, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) telah menjamin lebih 100,000 PKS merangkumi 75 peratus PKS bukan Bumiputera dan 25 peratus PKS Bumiputera dengan nilai keseluruhan diluluskan berjumlah lebih RM75 bilion.

"Tahun hadapan, SJPP akan menjamin sehingga 80 peratus pinjaman usahawan PKS khususnya yang terbabit dalam bidang ekonomi hijau, teknologi dan halal dengan ketersediaan dana jaminan sehingga RM20 bilion," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah berjaya membantu 1 juta peminjam khususnya ibu tunggal dan golongan miskin melalui penyediaan modal perniagaan kecil-kecilan.

Katanya, AIM telah menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang dengan mencatatkan kadar pinjaman tak berbayar (NPL) terendah iaitu 0.26 peratus pada tahun 2022.

"Bagi menyokong fungsi AIM yang berupaya membasmi kemiskinan, Kerajaan Perpaduan menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM100 juta.

"Tahun hadapan, RM100 juta dana pembiayaan disediakan kepada gerakan koperasi melalui Tabung Modal Pusingan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia antaranya bagi membantu lebih banyak koperasi," katanya.

Bagi memperkukuhkan daya saing PMKS, kerajaan menyeru golongan usahawan berkenaan segera beradaptasi dengan teknologi dan pendigitalan produk dan perkhidmatan bagi menembusi pasaran yang lebih luas.

Katanya, kerajaan akan memperhebat usaha mendorong PMKS untuk meningkatkan tahap daya saing melalui peralihan model perniagaan secara automasi dan pendigitalan.

"Sejumlah RM100 juta disediakan bagi menyediakan geran pendigitalan sehingga RM5,000 untuk manfaat lebih 20,000 usahawan PKS dan pengusaha mikro. Geran ini boleh digunakan untuk menaik taraf sistem jualan, inventori dan perakaunan digital.

"Sebanyak RM900 juta dana pinjaman di bawah BNM disediakan untuk menggalakkan syarikat PKS meningkatkan produktiviti perniagaan melalui automasi dan pendigitalan, manakala RM40 juta disediakan bagi melaksanakan Program Shop Malaysia Online untuk menggalakkan peniaga kecil khususnya dalam bidang makanan untuk berniaga dari rumah," katanya.

Beliau berkata, peranan Pusat Ekonomi Digital di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) akan terus diperkasa untuk menyokong pengusaha kecil menjual produk secara dalam talian dengan peruntukan RM25 juta disediakan.

"Bagi menyokong syarikat untuk kekal berdaya saing, kerajaan bercadang untuk mengurangkan tempoh syarikat dibenarkan menuntut elaun modal ke atas perbelanjaan pembelian peralatan teknologi komunikasi maklumat (ICT) serta pakej perisian komputer kepada tiga tahun berbanding empat tahun mulai tahun taksiran 2024," katanya.

Bagi mengantarabangsakan syarikat pemula tempatan dan meningkatkan daya saing bagi menembusi pasaran serantau, beliau menjelaskan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) menyediakan dana sehingga RM1.5 bilion untuk menggalakkan syarikat pemula termasuk usahawan PKS Bumiputera menceburi bidang bidang yang berpertumbuhan dan bernilai tinggi seperti ekonomi digital, teknologi angkasa serta elektronik dan elektrikal (E&E)," katanya.

Selaras dengan Pelan Induk Industri Halal 2030 pula, katanya, kerajaan menetapkan penanda aras sumbangan industri halal sebanyak 11 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2030.

"Justeru, sembilan institusi kewangan menawarkan program khusus untuk PKS halal di bawah platform bersepadu halal yang menawarkan akses kepada dana khas dan program bina upaya," katanya.

 

(Web Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/10/1164686/kerajaan-sedia-rm44-bilion-perkasa-pmks-pks)