Kerajaan umum kemudahan tambahan RM5 bilion SJPP, sokong PMKS — PM

Buletin TV3

21 April 2026

Kerajaan umum kemudahan tambahan RM5 bilion SJPP, sokong PMKS — PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan kemudahan khas berjumlah RM5 bilion di bawah Bank Negara (BNM) bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan mengharungi tekanan kos susulan krisis tenaga global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan itu melengkapi tambahan jaminan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) yang diumumkan sebelum ini, khusus untuk menyokong PMKS terjejas.

“Saya juga telah meminta BNM untuk segera menambah kemudahan ini supaya daripada RM5 bilion yang diberikan khas, ia dapat ditingkatkan lagi. Secara terperinci, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, akan mengumumkannya dalam beberapa hari lagi.

“Penambahan ini penting bagi membantu memacu pertumbuhan serta menjadi pemangkin kepada syarikat yang memerlukan sokongan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Sesi Meja Bulat Bersama Institusi Kewangan di sini, hari ini.

Jelas Anwar, bantuan itu mesti memberi keutamaan kepada syarikat berskala kecil yang terkesan.

Beliau turut mengarahkan supaya semua kemudahan lain, termasuk Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC), diperluas kepada sektor pertanian, pekebun kecil, nelayan, penjaja serta pengusaha warung dan restoran kecil.

“Kita mahu supaya pengusaha perniagaan kecil yang melibatkan ramai rakyat tidak terpinggir atau terabai. Saya mahu kemudahan yang diumumkan ini turut memastikan kelompok paling kecil mendapat manfaat,” tambahnya.

Semalam, kerajaan mengumumkan peruntukan jaminan RM5 bilion di bawah SJPP untuk menyokong PMKS, khususnya dalam sektor pembinaan, pertanian dan agri-makanan, logistik dan pengangkutan serta pelancongan.

Jaminan bagi sektor terkesan itu turut ditambah baik, berbanding skim SJPP sedia ada melalui liputan pembiayaan sehingga 80 peratus dan tempoh jaminan sehingga 10 tahun.

SJPP juga akan bekerjasama dengan institusi perbankan bagi memudah cara penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman, selain menyediakan bantuan bayaran balik secara bersasar.

Setakat ini, skim SJPP kekal sebagai antara instrumen utama kerajaan dalam menyokong kelangsungan PMKS, dengan lebih 50,000 telah dibantu melalui jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.

 

(Web Source: https://www.buletintv3.my/nasional/kerajaan-umum-kemudahan-pembiayaan-rm5-bilion-bawah-bnm-sokong-pmks-pm/