Berita Harian
26 September 2022
Malaysia bakal berdepan banyak cabaran tahun depan
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - NSTP/Fathil Asri
KUALA LUMPUR: Malaysia bakal berdepan banyak cabaran bermula pada suku keempat tahun ini dan berlarutan sehingga 2023 ekoran beberapa isu luaran yang akan memberi kesan kepada pertumbuhan serta pemulihan ekonomi negara.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata antara cabaran yang akan dihadapi Malaysia termasuk perang yang berterusan di Ukraine, prinsip COVID-sifar China serta pendekatan RizabPersekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah bagi menangani infl asi dan gangguan rantaian bekalan.
"Walau apa cabaran sekalipun, seperti yang telah terbukti semasa zaman pandemik, InsyaAllah kita akan capai keberhasilan positif melalui usahasama kita membantu sektor perniagaan bertahan dan bangkit semula.
"Justeru, Bajet 2023 akan mengekalkan fokus pada momentum pemulihan ekonomi negara, di samping mengutamakan pembaharuan berterusan dalam meningkatkan kebajikan rakyat, serta menambah baik daya saing perniagaan bagi memastikan Malaysia bersedia untuk menempuh sebarang cabaran yang akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyaksikan pemeteraian perjanjian antara CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB), Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) dan CreditGuarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad; Pengerusi CGC, Datuk Mohammed Hussein; dan Pegawai Utama SJPP, Chen Yin Heng.
Pada majlis pemeteraian perjanjian itu, CIMB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Komersial Kumpulan CIMB Group, Victor Lee Meng Teck, sementara SJPP dan CGC masing-masing diwakili Pengurus Besar Kanan SJPP, Azlan Mohd Agel dan Ketua Pegawai Perniagaan CGC, Leong Weng Choong.
Tengku Zafrul berkata, Bajet 2023 juga akan memberi tumpuan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, mencapai ketahanan dan daya saing yang tinggi melalui penerapan teknologi yang inovatif, serta menaik taraf pembangunan modal insan dan tenaga kerja golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
"Dalam hal membina daya tahan, automasi dan pendigitalan juga penting, justeru perkara ini pastinya akan terus diberi penekanan dalam Bajet 2023," katanya.
Beliau memberi menekankan sekali lagi mengenai komitmen kerajaan dalam menyokong dan memudahkan urusan perniagaan untuk semua pemilik perniagaan khususnya PMKS.
"Kini, kita telah memasuki fasa ekonomi yang baharu, dan terus melangkah ke hadapan dengan harapan dan keyakinan terhadap prospek ekonomi untuk tahun yang akan datang.
"Saya berbesar hati melihat bahawa CIMB akan memperbaharui komitmennya terhadap pertumbuhan dan pembangunan PMKS di Malaysia melalui perjanjian bersama CGC dan SJPP membabitkan pembiayaan RM30 bilion menjelang 2024," katanya.
Tengku Zafrul berkata, sejak penubuhannya, CGC, dengan dana yang diperuntukkan oleh Kementerian Kewangan mempromosikan saluran pembiayaan pada kos yang berpatutan untuk menyokong pertumbuhan PMKS, terutamanya perusahaan tanpa atau yang tidak mencukupi cagaran dan tiada rekod prestasi kewangan.
Katanya, CGC juga telah memainkan peranan penting menggalakkanpembangunan PMKS yang telah memberikan banyak dorongan dalam mempelbagaikan ekonomi Malaysia.
"Sejak April 2020 hingga Jun 2022, CGC telah menawarkan sejumlah RM13.2 bilion jaminan untuk PMKS, di mana RM6.1 bilion adalah untuk Kemudahan Bantuan Khas (SRF) dan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF).
"Sejumlah RM5.6 bilion lagi disediakan di bawah skim Jaminan Portfolio/Jaminan Borong. Pada 2021 saja, CGC telah memberi jaminan sejumlah RM6.1 bilion atau RM5.9 bilion lebih tinggi berbanding jaminan pada tahun 2020," katanya.
Selain itu, beliau berkata, SJPP iaitu sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang diwujudkan untuk mentadbir dan mengurus skim jaminan kerajaan yang membolehkan PMKS untuk mendapatkan akses kepada kemudahan pembiayaan daripada institusi kewangan.
Katanya, kerajaan akan terus menyediakan skim jaminan kepada PMKS.
Sejak beberapa tahun lalu, dana ini telah membantu banyak PMKS memperoleh akses kepada kemudahan pembiayaan, melalui institusi kewangan di Malaysia.
"Dengan peruntukan daripada kerajaan dalam bentuk jaminan mahupun dana, bank boleh menyediakan lebih banyak kemudahan pembiayaan pada kadar yang kompetitif, dan ini pastinya amat membantu mereka bangkit semula pasca pandemik.
"Inisiatif ini telah mewujudkan kerjasama kukuh antara Kerajaan dan institusi kewangan, melalui penyediaan penyelesaian alternatif kepada PMKS untuk keperluan cagaran mereka. Justeru, ia merapatkan jurang pembiayaan yang dihadapi oleh banyak PMKS, menjadikan mereka berdaya maju sehingga hari ini.
"Sepanjang pandemik, SJPP menyediakan had jaminan tambahan sebanyak RM10 bilion untuk menyediakan jaminan bagi pinjaman yang dijadualkan dan disusun semula untuk syarikat yang memerlukan dalam bentuk jaminan sebanyak RM2 bilion, khususnya untuk perniagaan Bumiputera," katanya.
(Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/09/1004878/malaysia-bakal-berdepan-banyak-cabaran-tahun-depan)