Mesyuarat Khas Parlimen: Kerajaan setuju tingkat skim jaminan RM1b kepada PKS depani kesan tarif AS

Berita Harian

5 May 2025

Mesyuarat Khas Parlimen: Kerajaan setuju tingkat skim jaminan RM1b kepada PKS depani kesan tarif AS

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penerangan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan setuju meningkatkan skim jaminan sebanyak RM1 bilion menerusi skim jaminan pembiayaan pernigaaan khusus untuk membantu pengeksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendepani isu tarif Amerika Syarikat (AS), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga bersetuju menambah dana pembiayaan mudah sebanyak RM500 juta melaiui institusi pembangunan kewangan untuk manfaat usahawan PKS yang terjejas.

"Ini (menambah dana pembiayaan) akan dipantau khususnya dengan syarikat PKS," katanya ketika menyampaikan penerangan pada sesi mesyuarat khas berkenaan isu tarif Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ketidaktentuan ekonomi global menyaksikan negara perlu mempertingkatkan perhatian kepada penjanaan aktiviti ekonomi domestik terutamanya projek pembangunan dan projek pelaburan.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan menumpukan usaha kepada mempercepat pelaksanaan projek yang diluluskan terutama berkaitan tebatan banjir, pembaikan sekolah daif dan pembinaan klinik.

"Bagi menyegerakan pelaksanaan, pemantapan prosedur perolehan kerajaan akan dilaksanakan terutamanya yang melibat kontraktor kecil di kategori G1-G4.

"Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan had sebut harga daripada RM1 juta kepada RM3 juta dan had cabut undi daripada RM100,000 kepada RM200,000 terutamanya bagi mempercepat kerja selenggara serta pembaikan seperti sekolah daif dan klinik," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Dalam pada itu, Anwar berkata bagi mempercepat proses prapelaksanaan projek, kapasiti agensi teknikal akan ditingkatkan termasuk melalui pendekatan baharu yang membenarkan pelaksanaan projek Kerajaan Persekutuan di atas tanah milik kerajaan negeri.

Pada 2 April lepas, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif timbal balik terhadap negara-negara dagangannya dengan Malaysia dikenakan tarif sebanyak 24 peratus.

Bagaimanapun pelaksanaan tarif itu ditangguhkan bagi tempoh 90 hari dengan pengenaan kadar asas 10 peratus dikekalkan.

 

(Web Source: https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2025/05/1392388/mesyuarat-khas-parlimen-kerajaan-setuju-tingkat-skim-jaminan-rm1b)