Berita Harian
6 May 2025
MICCI sokong pelantikan MITI sebagai pengeluar tunggal NPCO untuk eksport ke AS
Presiden MICCI, Christina Tee - NSTP/ROHANIS SHUKRI
KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menyokong penuh tindakan kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang akan menjadi satu-satunya pihak mengeluarkan Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) bagi tujuan eksport ke Amerika Syarikat (AS).
Presidennya, Christina Tee, berkata walaupun ia akan menjejaskan pendapatan dewan perniagaan, namun ia adalah perlu dilaksanakan bagi menangani isu tarif AS yang memberi kesan kepada banyak perniagaan.
"MICCI selama ini juga sangat telus dan tegas dalam isu sijil asal. Kami hanya keluarkan sijil kepada ahli sahaja dan ahli disemak setiap tahun. Jika mereka tak lakukan pengilangan di Malaysia, kami tak akan keluarkan sijil.
"Sekarang pun, walaupun pendapatan daripada sijil asal bantu operasi dewan, tapi eksport ke AS hanya 15 peratus daripada sijil yang kami keluarkan. Yang lain adalah untuk negara lain.
MITI akan menjadi satu-satunya pihak yang diberi kuasa untuk mengeluarkan NPCO bagi tujuan eksport ke AS berkuat kuasa 6 Mei 2025.
Langkah tegas itu diambil kerajaan bagi menangani isu kemungkinan penyalahgunaan laluan dagangan Malaysia sebagai pintu masuk dan keluar barangan dari negara tertentu ke pasaran AS melalui amalan 'transshipment' yang menyalahi undang-undang perdagangan antarabangsa.
Kerajaan juga menegaskan komitmen teguhnya di bawah kerangka Malaysia MADANI untuk mengekang sebarang cubaan mengelak tarif melalui pengisytiharan palsu sama ada berkaitan nilai barangan mahupun negara asal pengeluaran.
Tee berkata, MICCI yakin MITI mempunyai keupayaan untuk mengendalikan NPCO itu walaupun ia akan memberikan bebanan kerja kepada kementerian itu.
Namun, beliau berkata, MICCI akan terus memantau pengeluaran NPCO itu agar tidak berlaku kelewatan yang boleh menjejaskan penghantaran produk ke AS sekali gus memberikan kesan kepada operasi perniagaan syarikat.
"JikaKalau penghantaran melalui laut, biasanya ambil masa dua minggu, cukup untuk dapat sijil sebelum barang dihantar. Cuma sekarang, mampukah mereka kekalkan tempoh dua minggu dengan beban kerja sebegitu besar?
"Kami akan pantau pengalaman ahli-ahli kami dan jika ada kelewatan, kami akan teruskan libat urus dengan MITI," katanya.
Mengulas lanjut, Tee berkata, krisis tarif AS itu memberikan kesan kepada hampir keseluruhan ahli MICCI dan langkah pantas kerajaan dalam menangani isu tarif itu adalah tepat dan pantas.
Beliau berkata, antara langkah yang diambil kerajaan adalah meningkatkan jaminan kerajaan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), khusus untuk membantu pengeksport PKS yang terjejas akibat tarif AS bagi mendapatkan pinjaman daripada bank komersial.
Namun, katanya kerajan juga perlu memperhalusi memberi bantuan kepada syarikat pertengahan dan besar dan tidak hanya menumpukan kepada PKS.
"Kami cadangkan ia dibuka kepada syarikat lebih besar juga. Lagipun ini jaminan kerajaan, bukan dana. Kerajaan hanya beri jaminan dengan sedikit caj, dan biarkan bank yang berikan pinjaman kepada pengilang yang perlukan.
"Perkara kedua adalah tempoh sifar tarif selama 90 hari, ada syarikat yang mahu eksport segera dalam tempoh ini untuk manfaatkan pengecualian cukai atau tarif.
"Maka, kita cadangkan agar terma kelulusan pinjaman dipercepatkan supaya pengeluaran boleh dilakukan dalam tempoh ini dan produk boleh dihantar ketika pesanan masuk.
"Konflik tarif ini memang memberi kesan kepada kebanyakan ahli kami terutamanya dalam sektor pembuatan, dan boleh saya katakan, kami semua adalah pengeksport," katanya.
(Web Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2025/05/1392947/micci-sokong-pelantikan-miti-sebagai-pengeluar-tunggal-npco-untuk)