Berita Harian
2 Disember 2024
Pelaburan modal teroka: Jana pulangan tinggi, tata kelola baik kunci kejayaan
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
KUALA LUMPUR: Kerajaan komited membantu syarikat pemula tempatan yang berpotensi tinggi mendapatkan dana bagi mengembangkan perniagaan, dalam usaha mengukuhkan ekosistem ekonomi negara.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood Merican, berkata walaupun pelaburan modal teroka membawa risiko lebih tinggi berbanding portfolio saham syarikat senaraian awam, ia juga menawarkan potensi pulangan lumayan jika diuruskan dengan baik.
"Pengalaman menunjukkan syarikat pemula yang diurus dengan tata kelola dan semak imbang yang baik lazimnya berjaya. Pulangan yang diperoleh daripada syarikat berjaya ini boleh mengatasi kerugian pelaburan daripada syarikat yang gagal," katanya kepada BH dalam satu temubual eksklusif di Putrajaya, baru-baru ini.
Johan turut menekankan bahawa walaupun terdapat beberapa isu, termasuk kerugian melibatkan syarikat tertentu seperti FashionValet, banyak syarikat lain memiliki potensi besar yang wajar diberikan peluang untuk berkembang.
"Dalam satu portfolio pelaburan, akan ada syarikat yang rugi, tetapi jika diuruskan dengan baik, pulangan daripada syarikat berjaya boleh melebihi kerugian. Contohnya, berdasarkan pengalaman Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.
### *Cegah 'Brain Drain', Kukuhkan Ekonomi Tempatan*
Menurut Johan, langkah menyokong syarikat pemula berpotensi juga penting bagi mengelakkan fenomena 'brain drain', iaitu syarikat tempatan mencari pembiayaan di luar negara.
"Kita tidak mahu syarikat berpotensi ini terpaksa berpindah ke negara lain untuk mendapatkan dana. Jika ini berlaku, Malaysia akan kehilangan limpahan ekonomi yang sepatutnya dijana oleh syarikat ini," katanya.
Beliau berkata, menerusi Belanjawan 2025, kerajaan akan memastikan institusi dan kemudahan pembiayaan tersedia di setiap peringkat kitaran syarikat.
"Sebagai contoh, syarikat kecil boleh mendapatkan pembiayaan mikro daripada TEKUN Nasional dan Bank Simpanan Nasional (BSN). Untuk syarikat pertengahan dan besar, kerajaan menyediakan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP)," katanya.
### *Pelaburan Langsung GLIC dan Inisiatif Dana Modal Teroka*
Johan turut memaklumkan bahawa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan meningkatkan pelaburan langsung domestik melalui inisiatif GEAR-uP, dengan sasaran RM120 bilion dalam tempoh lima tahun, termasuk RM25 bilion pada 2025.
Selain itu, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan memperkukuh pasaran persendirian tempatan dengan Dana Pemacu bernilai RM6 bilion, meliputi ekuiti persendirian, prasarana dan hartanah.
Khazanah Nasional pula baru-baru ini melancarkan National Fund-of-Funds (NFOF) bagi meningkatkan dana modal teroka, bertujuan menyokong syarikat pemula tempatan yang berpotensi tinggi.
"Inisiatif ini diharap membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi, selaras dengan sektor tumpuan dalam kerangka Ekonomi MADANI," katanya.
Langkah ini menggambarkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh ekonomi negara menerusi sokongan kepada syarikat pemula dan pelaburan strategik, yang mampu menjana kesan berganda kepada pembangunan negara.
(Web Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/12/1331466/pelaburan-modal-teroka-jana-pulangan-tinggi-tata-kelola-baik-kunci)