Berita Harian
5 March 2024
Pengkhususan RM5 bilion beri akses pembiayaan lebih baik kepada PMKS Bumiputera
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pengkhususan sebanyak RM5 bilion yang dijamin di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) oleh kerajaan akan membolehkan usahawan Bumiputera mendapat akses pembiayaan lebih baik daripada sektor perbankan.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata apabila ada jaminan kewangan daripada pihak SJPP, bank akan lebih selesa untuk meluluskan pembiayaan kepada syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera kerana risiko kredit akan ditadbir oleh SJPP sebagai penjamin.
"Perkara itu adalah suatu strategi bagi membolehkan PMKS Bumiputera memperoleh kemudahan pembiayaan daripada pihak bank kerana dana berkenaan akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan mereka.
"Sekiranya rekod pembayaran kekal baik, maka pihak bank akan mempunyai data untuk menilai risiko kredit atau mungkir oleh PMKS dan sudah pasti skor kredit akan menjadi lebih baik," katanya.
Katanya, perkara berkenaan memungkinkan pihak PMKS terbabit untuk mendapat pembiayaan yang seterusnya pada masa akan datang.
"SJPP juga dilihat sebagai pemudahcara bagi pihak PMKS mendapatkan sumber pembiayaan dan pihak bank pula akan berasa lebih selamat dengan tahap risiko kredit yang diambil," katanya.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan mengumumkan sebanyak RM5 bilion daripada jumlah pembiayaan RM20 bilion bagi 2024 yang dijamin di bawah SJPP akan dikhususkan untuk syarikat Bumiputera.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata dana jaminan itu juga akan mengutamakan sektor pertumbuhan baharu Ekonomi MADANI.
Katanya, di samping itu tumpuan juga akan diberikan kepada usaha pendigitalan oleh syarikat PMKS.
"Tumpuan SJPP untuk tahun ini dengan peruntukan khusus bagi bidang ekonomi hijau, teknologi moden, penjagaan kesihatan dan halal adalah bagi mendokong kerangka Ekonomi MADANI termasuk sektor keutamaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP)," katanya.