Perkenal polisi ubah struktur ekonomi

Utusan Online

23 September 2019

Perkenal polisi ubah struktur ekonomi

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Kerajaan perlu memberi tumpuan untuk memperkenalkan polisi-polisi negara yang me¬ngandungi perubahan stuktur ekonomi dan bukannya suntikan pakej rangsangan fiskal mini yang hanya mempunyai kesan jangka pendek.

Penyelidik politik ekonomi di Institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi (IDEAS), Faiz Zaidi berkata, ini kerana baki keseluruhan untuk kewangan kerajaan persekutuan adalah pada paras negatif 3.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019.

“Kami berpendapat ia adalah satu perkara yang sukar dan bukan waktu yang sesuai untuk kerjaan memperkenalkan pakej rangsangan mini fiskal yang baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru- baru ini.

Sementara itu, Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober depan mungkin akan memasukkan pelan kontigensi untuk menangani kelembapan daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

RHB Research dalam nota kajiannya berkata, pakej yang dikenali rangsangan fiskal mini itu mampu mencecah sehingga RM3 bilion atau 0.2 peratus daripada KDNK dan pada masa sama ia mungkin dalam bentuk perbelanjaan pembangunan lebih tinggi.

Katanya, langkah itu akan meningkatkan sasaran defisit kepada 3.2 peratus daripada KDNK berbanding tiga peratus.

“Langkah yang mungkin disenaraikan dalam pelan kontingensi termasuk pelanjutan elaun pelaburan semula, perbelanjaan pembangunan lebih tinggi untuk merangsang aktiviti pembinaan dan perbelanjaan sosial lebih tinggi untuk membantu kumpulan B40.

“Kami percaya langkah berkenaan akan membantu menangani pelaburan swasta negara yang perlahan dan kelemahan aktiviti perdagangan,” katanya.

Pada masa sama, menurut Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, pihak kerajaan perlu menyasarkan sektor-sektor yang mempunyai kesan limpahan ekonomi yang tinggi kepada negara.

Ini kerana katanya, agensi penarafan kredit seperti Moody’s, S&P dan Fitch sentiasa bersifat pragmatik memandangkan antara pemboleh ubah yang menjadi penilaian mereka ialah kadar pertumbuhan KDNK.

“Pakej rangsangan fiskal mini seharusnya menyasarkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dilihat mempunyai potensi untuk terus berkembang maju di dalam sektor yang berkaitan,” katanya.

Jelas beliau, antara perkara yang boleh dilakukan adalah menambah peruntukan kepada agensi kerajaan seperti Syarikat Jaminanan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) yang membantu memberi jaminan kewangan kepada PKS yang memohon skim pembiayaan kewangan daripada institusi perbankan.

“Peruntukan yang lebih mampu merangsang pembiayaan PKS oleh institusi perbankan. PKS yang menerima pembiayaan pula berupaya mengembangkan perniagaan sekali gus mewujudkan permintaan terhadap barang modal dan buruh.

“Kitaran ekonomi sememangnya ada turun naik dan sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengenal pasti kitaran ini dan bertindak mengikut kesesuaian keadaan ekonomi semasa. Sehubungan itu, sasaran untuk mengurangkan jurang defisit fiskal perlu dinilai semula,” katanya.

Web source: https://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/perkenal-polisi-ubah-struktur-ekonomi-1.975273