Berita Harian
18 Oktober 2024
Peruntukan RM40 bilion sebagai kemudahan pinjaman, jaminan pembiayaan perniagaan untuk PMKS
Foto hiasan NSTP
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam bidang-bidang tumpuan seperti keterjaminan makanan, peralihan tenaga dan digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata secara keseluruhan RM40 bilion disediakan sebagai kemudahan pinjaman serta jaminan pembiayaan perniagaan di bawah agensi-agensi kerajaan.
Katanya, pinjaman bersaiz mikro tersedia sehingga RM3.2 bilion antaranya oleh TEKUN dan BSN bagi membantu penjaja kecil termasuk komuniti orang kurang upaya (OKU), masyarakat Cina serta Bumiputera.
"Bank Pembangunan Malaysia Bhd menyediakan dana pembiayaan RM6.4 bilion antaranya bagi menyokong pembiayaan sektor pembangunan infrastruktur, digitalisasi, pelancongan, logistik dan pengangkutan serta tenaga boleh baharu dan peralihan.
"Kerajaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) akan terus menjamin pembiayaan PKS sehingga RM20 bilion termasuk jaminan RM5 bilion khas untuk PKS Bumiputera.
"Dana pinjaman PKS RM3.8 bilion ringgit disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) antaranya bagi menyokong usahawan untuk beralih ke arah digital dan automasi selain terus membantu sektor agromakanan
dan amalan lestari," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan agresif dalam usaha meningkatkan kapasiti perniagaan PMKS untuk beralih ke arah pendigitalan.
Katanya, untuk itu sebanyak RM50 juta disediakan sebagai Geran Padanan Digital PMKS dan Geran Digital Penjaja di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk usaha tempatan kekal berdaya saing dalam pasaran.
"Sejumlah RM100 juta disediakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tempoh lima tahun bagi memperkasa fungsi Pusat NADI di seluruh negara, sebagai platform komuniti meningkatkan pendapatan melalui aktiviti keusahawanan dalam talian," katanya.