Harapan Daily
20 August 2025
PM pertegas komitmen kerajaan bantu rakyat miskin tanpa mengira kaum
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa usaha Kerajaan MADANI membantu rakyat dilakukan bukan atas dasar kaum atau pilih kasih, sebaliknya mengangkat martabat warga miskin dan rentan tanpa mengira latar belakang.
Ketika Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan pagi ini, beliau menyinggung mengenai pelbagai isu melibatkan perihal sosioekonomi dan kos sara hidup.
Menurut Anwar, meskipun masih ramai orang Melayu berada dalam kelompok miskin, hakikatnya golongan miskin tegar juga merangkumi masyarakat India.
“Saya akur bahawa dalam keadaan masih ramai yang terbeban dengan kos sara hidup, gejala ini mampu untuk terus membengkak.
“Memang benar, ramai dalam kalangan orang Melayu masih hidup dalam kemiskinan. Namun, saya juga acapkali mengingatkan bahawa dalam kelompok miskin tegar, ramai datang daripada masyarakat India.
“Sebab itu juga saya tegaskan betapa besarnya beda antara kumpulan masyarakat yang miskin dan miskin tegar,” katanya.
Beliau berkata, hasil daripada dasar kerajaan yang membantu tanpa mengira latar belakang kaum, bantuan tunai kepada masyarakat India telah meningkat ketara dalam tempoh tiga tahun.
Ia meningkat daripada RM578 juta pada 2022 kepada RM972 juta melalui Sumbangan Tunai Rahmah.
Ini kata beliau, merupakan kenaikan sebanyak 68% dalam hanya tiga tahun, ketimbang peningkatan kepada etnik lain sebanyak 39% hingga 60%.
Bagi masyarakat Cina pula, Anwar berkata usahawan mereka termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat besar banyak mendapat manfaat daripada skim pembiayaan kerajaan.
“Bagi masyarakat Cina, hampir RM14 bilion atau 75% daripada keseluruhan jaminan di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) telah dimanfaatkan oleh usahawan Cina, termasuk PKS dan syarikat besar.
“Untuk masyarakat Melayu dan Bumiputera pula, dasar khusus seperti PuTERA35 telah diluncurkan bagi meningkatkan penyertaan ekonomi secara bersasar,” tambah beliau.
Anwar menegaskan, isu-isu berkaitan kemiskinan dan jurang sosioekonomi akan terus menjadi perhatian dalam masyarakat majmuk Malaysia.
“Saya cakna bahawa isu-isu seperti ini akan terus menjadi tajuk wacana dalam negara majmuk seperti Malaysia. Namun, Kerajaan MADANI memikul tanggungjawab ini dengan iltizam untuk membetulkan masalah asas negara berpaksikan prinsip keadilan dan rahmah untuk semua,” katanya.
(Web Source: https://harapandaily.com/2025/08/20/pm-pertegas-komitmen-kerajaan-bantu-rakyat-miskin-tanpa-mengira-kaum/)