Rakyat boleh jadi 'mata-mata' kenaikan harga

Harian Metro

4 Mac 2024

Rakyat boleh jadi 'mata-mata' kenaikan harga

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bercakap kepada wartawan selepas Majlis Peluncuran Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan-Belanjawan 2024 di Hotel Hilton Kuala Lumpur. FOTO ASYRAF HAMZAH

Kuala Lumpur: Rakyat boleh memainkan peranan dengan memberi maklumat jika mendapati ada pihak menaikkan harga susulan kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu perlu kerana wujud segelintir pihak mengambil kesempatan setiap kali ada pengumuman dibuat mengenai kenaikan cukai.

Menurutnya, pihaknya menyambut baik usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Ops Kesan 2024 bagi membuat pemantauan dalam memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan mencatut atau menaikkan harga.

"Kenaikan kadar SST adalah untuk menaikkan hasil pandapatan dan sebahagian langkah memberi semula kepada rakyat. Ia juga bertujuan membantu masyarakat terutama yang kurang berkemampuan.

"Cuma apa kita bimbangkan adalah dengan mereka yang mengambil kesempatan. Kita menyambut baik langkah KPDN kerana lebih ramai rakyat Malaysia dapat memainkan peranan dengan suarakan jika berasa ada kenaikan harga tidak konsisten," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) - Belanjawan 2024, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah struktur cukai yang sentiasa dilihat oleh kementerian.

"Tapi ambil masa sebelum kita kaji semula semuanya. "Buat masa ini, kita fokus dengan apa kita ada iaitu SST," katanya.

 

(Web Source: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1066739/rakyat-boleh-jadi-mata-mata-kenaikan-harga)