Bernama
21 January 2020
RHB menang anugerah pembiayaan PKS SJPP dengan pengagihan RM1.13 bilion
KUALA LUMPUR, 21 Jan -- RHB Banking Group (RHB) mendahului jumlah kelulusan dan pengagihan pembiayaan di bawah skim pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP), dengan pembayaran sebanyak RM1.13 bilion pada 2019 berbanding jumlah kelulusan sebanyak RM1.43 bilion.
RHB dalam satu kenyataan berkata ia telah meluluskan 914 permohonan pada 2019 di bawah perkongsian berterusan dengan SJPP.
Bank tersebut diiktiraf melalui anugerah ´Prestasi Terbaik Skim SJPP´ pada pelancaran rasmi Skim Jaminan Kerajaan untuk PKS-Bajet 2020 di sini hari ini.
SJPP merupakan sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan dan menguruskan skim jaminan kerajaan untuk PKS.
"Pada 2019, RHB telah meluluskan kira-kira RM10 bilion dalam pembiayaan PKS Malaysia, termasuk RM5 bilion yang telah memberi manfaat kepada lebih daripada 3,000 PKS yang lebih kecil.
"Pendekatan kami ke arah membantu PKS adalah melangkaui sekadar pinjaman, menjadikannya mudah bagi pemilik perniagaan untuk meraih keberkesanan kos serta kecekapan yang lebih besar melalui ekosistem bersepadu dengan menyediakan penyelesaian yang disesuaikan," kata Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli.
-- BERNAMA
Web source: http://bernama.com/bm/news.php?id=1808291