Utusan Malaysia
14 October 2021
RM1 bilion biaya URUS bagi bantu peminjam bank
TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
PUTRAJAYA: Institusi perbankan tempatan bakal memperuntukkan dana RM1 bilion bagi membiayai Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) dikelolakan oleh sektor itu.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, permohonan bagi program ini akan dibuka kepada awam dari 15 November ini hingga 31 Januari tahun depan.
“Kementerian Kewangan mengalu-alukan URUS oleh sektor perbankan yang akan ditawarkan kepada peminjam B50 yang terjejas,” kata beliau menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan program itu yang dilaksanakan dalam masa terdekat untuk mereka berpendapatan kurang RM5,880 sebulan.
URUS dirangka sektor perbankan bersama-sama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) bagi bayaran balik pinjaman komprehensif.
Manfaat program tersebut akan merangkumi pengecualian faedah untuk tempoh tiga bulan, pengurangan bayaran ansuran sehingga 24 bulan dan penurunan kadar faedah pinjaman.
Tengku Zafrul berkata, pelanggan dengan pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan juga mendapat manfaat untuk bantu meringankan beban kewangan.
“Peminjam yang tidak layak terima bantuan di bawah program URUS tetapi masih lagi perlu bantuan bayaran balik pinjaman boleh terus menghubungi bank masing-masing,” katanya.
Golongan berkenaan jelas beliau, diminta supaya berbincang mengenai pilihan bayaran balik pinjaman yang bersesuaian dengan keadaan kewangan semasa mereka untuk pertimbangan.
Katanya, URUS akan menolong peminjam secara komprehensif dan memastikan mereka mendapat sokongan kerajaan dengan konsisten selaras konsep semangat Keluarga Malaysia.
Program baharu itu bakal melengkapkan pelbagai inisiatif lain oleh kerajaan dalam bantu golongan terjejas sejajar kesan jangka panjang pembukaan ekonomi dan pemulihan negara
“Kerajaan juga sedang mengkaji kaedah lain untuk menolong kelompok perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang akan diumumkan dalam Bajet 2022 kelak,” kata Tengku Zafrul.
BNM tambah beliau, dijangka memperuntukkan lebih daripada RM7 bilion untuk membantu aliran tunai segmen PKS yang terjejas teruk akibat impak wabak Covid-19 sejak tahun lepas.
Dana itu akan disalurkan menerusi fasiliti pembiayaan bank komersial sebagai pinjaman untuk modal kerja, perbelanjaan modal semasa dan membiayai semula pinjaman PKS terbabit.
Bagi memudahkan lagi urusan itu, pihak kerajaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan telah pun memperuntukkan dana tambahan RM20 bilion di bawah pakej Pemulih.
Beliau memaklumkan bahawa pakej bantuan tersebut dijangka mampu menjamin sekitar 80 peratus daripada pinjaman yang telah diambil oleh pihak PKS tempatan sebelum ini.
“Di bawah pakej Pemulih dan Pemerkasa, memang terdapat juga inisiatif seperti geran dan pinjaman dengan kadar faedah rendah untuk perusahaan mikro yang terjejas,” katanya.
(Web source: https://www.utusan.com.my/terkini/2021/10/rm1-bilion-biaya-urus-bagi-bantu-peminjam-bank/)