RM5 bilion Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan khas untuk syarikat Bumiputera

Harian Metro

4 Mac 2024

RM5 bilion Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan khas untuk syarikat Bumiputera

AMIR Hamzah menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan-Belanjawan 2024. FOTO Asyraf Hamzah

Kuala Lumpur: Sebanyak RM5 bilion daripada jumlah pembiayaan RM20 bilion bagi tahun ini yang dijamin di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) akan dikhususkan untuk syarikat Bumiputera.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dana jaminan itu juga akan mengutamakan sektor pertumbuhan baharu Ekonomi Madani.

Beliau berkata, tumpuan juga akan diberikan kepada usaha pendigitalan oleh syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

"Pendekatan itu juga dapat memastikan syarikat Bumiputera di pelbagai peringkat pertumbuhan mendapat akses kepada pembiayaan.

"Jaminan SJPP untuk syarikat kecil dan sederhana Bumiputera akan membantu melengkapkan pembiayaan yang diumumkan semasa Kongres Ekonomi Bumiputera bagi usahawan mikro melalui pembiayaan mikro sebanyak RM1 bilion, serta untuk syarikat pemula dan pertumbuhan tinggi melalui dana ekuiti sebanyak RM1 bilion di bawah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan-Belanjawan 2024 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Menurut Amir Hamzah, setakat ini, SJPP menjamin lebih 100,000 PMKS dengan nilai keseluruhan diluluskan berjumlah lebih RM75 bilion.

Beliau berkata, setakat tahun lalu, SJPP sudah membantu lebih 19,000 PMKS dengan nilai pembiayaan yang dijaminkan sebanyak RM18.5 bilion.

Katanya, SJPP sudah banyak membantu PMKS terutamanya semasa krisis Covid-19 di mana ramai PMKS menghadapi ketidaktentuan perniagaan.

"Dalam Belaniawan 2024, SJPP diberi kelulusan jaminan untuk pembiayaan PMKS sebanyak RM20 bilion dan ia dijangka menjamin sehingga 90 peratus pembiayaan usahawan PMKS khususnya yang terbabit dalam bidang ekonomi hijau, teknologi moden, penjagaan kesihatan dan halal,"katanya.

"Tumpuan SJPP untuk tahun ini dengan peruntukan khusus bagi bidang ekonomi hijau, teknologi moden, penjagaan kesihatan dan halal adalah untuk mendokong kerangka Ekonomi Madani termasuk sektor keutamaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).

"Penyediaan peruntukan jaminan di bawah SJPP adalah bagi memastikan bahawa penstrukturan semula ekonomi bukan hanya membabitkan syarikat besar dan multinasional tetapi turut disokong PMKS yang ingin menceburi bidang pertumbuhan baharu," katanya.

 

(Web Source: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2024/03/1066675/rm5-bilion-skim-jaminan-pembiayaan-perniagaan-khas-untuk-syarikat-bumiputera)