Berita Harian
15 February 2022
SemarakNiaga kembalikan keupayaan sektor perniagaan
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
KUALA LUMPUR: Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) bernilai RM40 bilion disediakan bagi mengembalikan keupayaan dan memastikan kelangsungan industri perniagaan terutama ketika pasca pandemik.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata paling penting ialah sokongan kerajaan yang holistik apabila semua lapisan usahawan dan perniagaan disokong, termasuk daripada mikro hingga syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan juga sedar pentingnya menyokong perniagaan mikro terutama bagi membantu mereka pulih dan bangun semula ketika pasca pandemik.
"Menerusi SemarakNiaga, pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.8 bilion akan disediakan melalui pelbagai agensi seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), TEKUN, Agrobank, Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia (melalui bank komersial).
"Langkah itu termasuk pembiayaan Ekuiti/Alternatif (RM2.2 bilion), Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil dan Sederhana (RM14.2 bilion) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) (RM22 bilion termasuk peruntukan khas Bumiputera sebanyak RM2 bilion)," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Agenda Awani bertajuk 'Ketahanan Ekonomi Keluarga Malaysia' terbitan Astro Awani, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, antara ciri dirunding khas oleh Kementerian Kewangan ketika menggubal langkah untuk SemarakNiaga adalah moratorium kepada peminjam sekurang-kurangnya enam bulan (sehingga 12 bulan di bawah TEKUN).
Selain itu, beliau berkata, koperasi turut mendapat manfaat daripada SemarakNiaga melalui pembiayaan koperasi seperti Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) (RM10 juta), Program pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi (RM30 juta) dan penyediaan tapak perniagaan trak makanan kawasan bandar (RM1.75 juta).
"Bagi sektor pelancongan, kerajaan sedar apabila sempadan dibuka semula, kita memerlukan kapasiti yang sudah siap dibangunkan untuk memaksimumkan potensi hasil dalam sektor ini.
"Jadi, untuk membina semula sektor pelancongan, kerajaan memperuntukkan RM1.6 bilion dalam Bajet 2022," katanya.
Antara yang ditawarkan adalah program subsidi upah kepada pemain industri yang akan memanfaatkan 330,000 pekerja membabitkan peruntukan RM600 juta, pembiayaan RM600 juta di bawah PENJANA Tourism Financing dan bantuan khas kepada lebih 20,000 pengusaha pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya selama tiga bulan dengan peruntukan RM85 juta.
Selain itu, pelepasan khas cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan pelancongan domestik sehingga RM1,000 dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022.
Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan akan sentiasa responsif terhadap keperluan rakyat dan perniagaan dalam mengambil langkah yang bakal mempercepat usaha pemulihan.
Beliau berkata, inisiatif lain menerusi SemarakNiaga boleh dilayari di https://budget.mof.gov.my/manfaat/ – BERNAMA
(Web source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/02/923081/semarakniaga-kembalikan-keupayaan-sektor-perniagaan)