SJPP lulus RM50.31 bilion jaminan pembiayaan sejak 2009

Free Malaysia Today (Malay)

3 August 2022

SJPP lulus RM50.31 bilion jaminan pembiayaan sejak 2009

Jumlah keseluruhan agihan dana kepada PKS melalui institusi kewangan ialah RM79.500 bilion, kata Laporan Ketua Audit Negara

PETALING JAYA: Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) meluluskan sejumlah RM50.313 bilion permohonan jaminan pembiayaan oleh institusi kewangan yang melibatkan sebanyak 69,293 akaun bagi tempoh 2009 sehingga Februari 2022.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 1 Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, sebanyak 84.7% atau RM42.628 bilion daripada pembiayaan itu disalurkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) oleh institusi kewangan, manakala jumlah jaminan SJPP sebanyak RM31.846 bilion.

“Setakat Mei 2022, SJPP telah diperuntukkan had pembiayaan RM81 bilion untuk menguruskan 11 skim jaminan Kerajaan untuk PKS sejak 2009 dengan lapan skim jaminan masih aktif manakala tiga skim telah ditutup.

“Jumlah keseluruhan agihan dana kepada PKS melalui institusi kewangan ialah RM79.500 bilion,” kata laporan itu.

Menurut laporan itu, bagi tempoh 2009 hingga Februari 2022, tuntutan bersih jaminan pembiayaan daripada institusi kewangan adalah berjumlah RM587.02 juta (1.4%) berbanding RM42.628 bilion pembiayaan kepada PKS.

Laporan itu juga menyifatkan secara keseluruhannya SJPP telah mencapai objektif penubuhannya melalui pencapaian output iaitu sasaran jumlah pembiayaan diluluskan dan tuntutan jaminan dibayar.

“Pencapaian keberhasilan menunjukkan impak positif skim jaminan Kerajaan melalui SJPP iaitu sumbangan syarikat PKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada kadar 38.9% (2019) dan 38.2% (2020).

“Peningkatan hasil kutipan yuran skim jaminan pembiayaan menyumbang kepada kedudukan kewangan syarikat yang kukuh dan membolehkan pembayaran dividen kepada Syarikat Tujuan Khas di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) serta mempunyai lebihan dana untuk disalurkan bagi keperluan tuntutan jaminan,” kata laporan itu.

Menurutnya, bagaimanapun, pengurusan aktiviti jaminan pembiayaan dari segi tempoh memproses permohonan dan tuntutan mengalami kelewatan akibat pandemik Covid-19 selain kesilapan pengiraan yuran jaminan yang menyebabkan terlebih/terkurang kutipan.

 

(Web source: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/08/03/sjpp-lulus-rm50-31-bilion-jaminan-pembiayaan-sejak-2009/)