Utusan Borneo
22 October 2024
SME Bank sambut baik 10 inisiatif strategik Belanjawan Negara 2025
SENTIMEN POSITIF: Hardee menyatakan sokongan beliau terhadap 10 inisiatif strategik bernilai RM1.17 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan Negara 2025 baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) menyambut baik 10 inisiatif strategik bernilai RM1.17 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan Negara 2025, baru-baru ini.
Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan daya tahan ekonomi dan mempromosikan pertumbuhan yang mampan dan inklusif.
Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim menekankan bahawa belanjawan sebanyak RM421 bilion itu menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memupuk daya tahan negara.
"Ini adalah cerminan sentimen positif ekonomi negara dengan pelbagai langkah yang diperkenalkan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi keseluruhan, terutamanya dalam sektor-sektor utama," katanya.
Antara sorotan belanjawan tersebut ialah penerusan dana Bank Negara Malaysia (BNM) untuk PMKS serta skim jaminan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad. Skim-skim ini akan memberi tumpuan kepada bidang utama seperti pembangunan Bumiputera, teknologi tinggi, ESG (Alam Sekitar, Sosial, Tadbir Urus), industri halal, dan pelancongan serta Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS).
"Kami berbangga diberi kepercayaan untuk melaksanakan 10 inisiatif yang berjumlah RM1.17 bilion seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Negara 2025. Ini mengukuhkan mandat kami untuk mencipta nilai dalam keseluruhan ekosistem PMKS dengan menawarkan penyelesaian pembiayaan yang komprehensif dan tawaran tambahan," kata Hardee.
Beliau turut menyebut bahawa SME Bank akan memberi tumpuan kepada sektor-sektor strategik seperti teknologi, pelancongan, industri halal, dan sektor yang berkaitan ESG yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi mampan negara dalam jangka masa panjang.
Komitmen SME Bank untuk memajukan sektor-sektor ini selaras dengan agenda kerajaan untuk menyokong segmen afirmatif, seperti memperkasakan usahawan wanita dan mempromosikan bidang pembangunan berpotensi tinggi.
Di bawah Rangka Kerja Pengukuran Prestasi BNM (PMF), SME Bank berhasrat untuk menekankan impak pembangunan sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (DFI).
Selaras dengan agenda Industry4WRD Malaysia, SME Bank akan memperuntukkan RM400 juta dalam pembiayaan kepada PMKS yang sedang beralih ke arah transformasi teknologi.
Selain itu, RM200 juta akan diperuntukkan untuk memperkasakan PMKS Bumiputera untuk meluaskan jejak serantau mereka, bersama-sama dengan RM5 juta untuk inisiatif pembinaan kapasiti bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti eksport dengan tambahan RM2 juta yang akan diuruskan oleh anak Syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR).
Bank ini juga akan menyalurkan RM200 juta untuk merancakkan semula sektor pelancongan, pembiayaan RM100 juta untuk memperkasakan usahawan wanita dan merapatkan jurang jantina, RM100 juta untuk sektor berkaitan ESG, dan RM100 juta untuk menyokong PMKS dalam sektor halal.
Selain itu, RM50 juta akan diperuntukkan untuk membiayai syarikat permulaan Bumiputera, dengan RM15 juta dikhususkan untuk pembangunan perusahaan sosial.
Sejak penubuhannya pada tahun 2005, SME Bank telah menyediakan lebih daripada RM45 bilion dalam pembiayaan kepada lebih daripada 24,000 PMKS. Melalui cabang pembinaan kapasiti, CEDAR, SME Bank ini juga telah membantu lebih 82,000 usahawan dalam mengembangkan bisnes mereka.
Dengan inisiatif baharu ini, SME Bank bersedia untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia sambil menyokong sektor-sektor utama yang penting untuk masa depan negara.
(Web Source: https://www.utusanborneo.com.my/2024/10/22/sme-bank-sambut-baik-10-inisiatif-strategik-belanjawan-negara-2025)