Tarif AS: Jaminan kerajaan RM1 bilion bantu pengeksport PKS

Sinar Harian

5 May 2025

Tarif AS: Jaminan kerajaan RM1 bilion bantu pengeksport PKS

Anwar memberi penerangan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju meningkatkan jaminan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi membantu pengeksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat isu tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS), agar mereka lebih mudah mendapatkan pinjaman daripada bank komersial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut meluluskan penambahan Dana Pembiayaan Mudah sebanyak RM500 juta melalui Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) bagi memperkukuh daya tahan sektor PKS.

“Kerajaan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia menyediakan bantuan bersasar kepada PKS yang secara langsung terkesan.

“Selain itu, dengan tercetusnya perang perdagangan antara rakan dagang utama, adalah penting untuk kita mempelbagaikan pasaran ke rantau baharu seperti Eropah, Timur Tengah, Asia Tengah dan Amerika Selatan, serta memperkukuh perdagangan serantau, terutamanya dengan negara-negara ASEAN,” katanya dalam sesi penerangan berhubung isu pelaksanaan tarif timbal balas AS di Sidang Khas Dewan Rakyat pada Isnin.

Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pelaksanaan tarif timbal balas sebanyak 24 peratus terhadap Malaysia dan beberapa negara dagangan lain mengikut kadar masing-masing.

Anwar berkata, kerajaan turut meneruskan usaha membuka rundingan bagi perjanjian perdagangan dan pelaburan baharu, termasuk dengan Kesatuan Eropah (EU), dalam usaha mempelbagaikan pasaran eksport negara.

“Usaha dalam mengeratkan hubungan antarabangsa kini mula membuahkan hasil. Hasil daripada pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Malaysia minggu lalu telah berjaya menghantar minyak sawit mampan ke United Kingdom (UK) tanpa sebarang tarif.

“Rundingan perjanjian perkongsian Malaysia–Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) juga telah selesai pada April 2025 dan dijangka dimeterai bulan hadapan.

“Selain itu, usaha akan terus digiatkan untuk memperkukuh hubungan ASEAN dengan rantau seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC),” ujarnya.

 

(Web Source: https://www.sinarharian.com.my/article/726724/berita/nasional/tarif-as-jaminan-kerajaan-rm1-bilion-bantu-pengeksport-pks)